P/S: cerpen ni baru diubah suai balik... pengubah semula HANNA ALEEYA semuanyapendek.blogspot.com harap enjoy... hidup GAZA!!!CERPEN
“Zarif dah fikir masak-masak ke?” tengking
mama sewaktu aku meluahkan hasrat hatiku. Jelas terpancar pada wajahnya yang
dia tidak bersetuju dengan tindakanku ini.
“Ma… bagi Zarif peluang. Zarif teringin
sangat ke sana. Zarif nak bantu mereka yang dalam kesusahan tu. Tolong Zarif, ma…”
Mendayu-dayu suaraku. Bukan apa. Aku hanya meminta sedikit ihsan daripada orang
tuaku. Mama merenungku tajam sambil bercekak pinggang. Air mata darah keluar
sekalipun, belum tentu mama akan bersetuju dengan permintaanku ini.
“Izzah…” Papa yang sedari tadi berdiam
melihat persengketaan kami mula bersuara. Aku dan mama menoleh sekilas ke arah
papa. Surat khabar yang dibaca tadi dilipat dan diletakkan di atas meja kaca di
hadapan kerusi. Cermin mata juga ditanggalkan. Papa menggosok matanya beberapa
kali. Papa bangun dan menghampiri mama dan diusap belakang mama berkali-kali.
Papa mesti sedang menenangkan mama.
“Apa salahnya kita bagi peluang buat Zarif.
Zarif kan sudah besar. Dia mampu memilih yang mana baik dan mana yang buruk.
Abang yakin Zarif sudah tahu itu yang terbaik buatnya. Apa salahnya jika dia
memilih jalan hidupnya sendiri.” Panjang lebar papa memuntahkan kata-katanya.
Aku yang sedari tadi hanya mendengar turut terpegun. Hanya papa yang mengerti
perasaan aku tika ini.
“Tapi bang, Zarif satu-satunya anak lelaki
kita. Saya tak sanggup kehilangan dia bang,” balas mama yang tersedu-sedan
menangis memeluk papa. Papa hanya membiarkan sahaja perlakuan mama. Tangannya
naik menggosok lembut bahu mama. Aku yang melihat hanya mampu menundukkan wajah
sahaja. Berdosa mengingkari arahan orang tua. Aku tidak mahu hidupku tidak
diredhai oleh Allah.
“Abang tahu. Abang pun sedar Zarif
satu-satunya anak lelaki kita. Tapi kita sebagai orang tua harus menghormati
pendirian anak kita. Dia bukan pergi ke mana pun. Dia hanya ingin berjuang
menolong saudara seagama dengan kita. Kita harus meredhai dia, Zah. Tanpa redha,
sia-sia sahaja perbuatannya itu,” tutur papa lagi. Kali ini bertambah kuat
esakan mama. Semakin kemas pelukan mama. Papa memandang sekilas kepadaku. Aku
tahu apa keputusan papa.
“Ma, jika mama tidak izinkan Zarif untuk
pergi Zarif tak akan pergi ma. Zarif tak nak Tuhan marahkan Zarif kerana
derhaka pada orang tua Zarif. Zarif sedar yang berbakti kepada orang tua adalah
yang utama, ma. Zarif sentiasa ingat pesanan Rasulullah itu, ma.”
Ya! Aku tidak boleh derhaka. Aku harus redha
jika itu permintaan orang tuaku. Aku tak mahu dilaknat. Aku mahu hidup aman di
dunia ini. Aku berkira-kira untuk bangun melangkah pergi biarpun hati ini
merintih kuat supaya aku tetap ada di situ.
“Zarif…” Langkahku terhenti. Aku menoleh ke
belakang. Kelihatan mama sedang mengesat pelupuk matanya dengan hujung
jemarinya. Dia menghampiriku lantas memeluk tubuhku erat. Aku terpinga-pinga.
“Mama izinkan Zarif. Mama tahu Zarif anak
yang paling baik. Janji dengan mama yangZarif akan jaga keselamatan Zarif kat
sana ya. Jangan risaukan kami kat sini. Kami di sini boleh menjaga diri. Kami
hanya bimbangkan Zarif sahaja. Janji ya.”
Aku membalas pelukannya. Terasa ini adalah
pelukan buat kali terakhirku.
“Zarif janji. Zarif sayang mama, papa dan
adik. Terima kasih kerana sudi memberi peluang ini untuk Zarif. Tak menyesal
andai Zarif mati di sana nanti. ” Betapa gembiranya aku. Ya! Aku akan
menghampiri dia satu saat nanti. Tunggu aku wahai kekasihku.
“Jangan cakap macam tu Zarif. Mama tak nak
dengar.” Terasa bajuku basah. Mama sudah teresak-esak. Ya Allah, kuatkan hati
mamaku ini. Aku mengucup lembut pipi mama. Dia membalasnya dengan mengucup lama
dahiku. Terasa sebak pula hatiku ini. Seperti tidak sanggup untuk berpisah.
Tapi apakan daya, aku amat merinduinya. Aku harus menetapkan hatiku padanya.
Selepas aku melepaskan pelukan mama, aku
mendapatkan papa yang lama melihat telatah kami anak-beranak. Aku memeluk papa.
Pipinya aku cium.
“Terima kasih papa.” Hanya itu yang mampu aku
ungkapkan. Tiada apa yang bisa terucap melainkan hatiku sudah berbunga riang.
“Janji dengan papa, kamu akan menjaga diri
kamu baik baik. Papa sayang kamu. Kamu telah membuat keputusan yang terbaik
dalam hidup kamu. Oh ya, adakah dia yang kamu selalu rindukan itu ada di sana?”
soal papa sebaik pelukan itu dilepaskan. Aku mengukir senyuman sambil
mengangguk. Papa turut tersenyum kepadaku.
“Jika dia yang kamu maksudkan, papa tidak
risau. Papa yakin dia akan sentiasa bersama kamu di sana nanti. Maafkan mama,
dia tidak bermaksud begitu. Dia hanya mahu yang terbaik buat anaknya.”
*****
Dalam diam aku mencintai dirinya. Sejak bila
aku mencintainya, aku sendiri tidak pasti.
Yang pasti, apabila mereka bercerita tentangnya, aku pasti akan terasa
ingin tahu. Hatiku bagaikan bersemangat saat mendengar kisah tentangnya.
Setiap hari aku pasti bertanya kepada
sahabatku tentang dirinya. Sahabatku selalu bercerita tentang kelebihannya,
hatiku mula diterpa rasa bangga mencintai dirinya itu. Hatiku berbunga riang
saat ini. Dari dulu sampai sekarang aku tidak pernah berhenti mencintainya.
“Kau dah ada teman hidup ke?” tanya sahabatku
yang seorang ni. Naimi menjongketkan keningnya.
“Tak ada lagi. Kenapa ya?” Saja aku mahu
bermain kata dengannya. Senyuman di bibirku aku sembunyikan.
“Tak kan tak ada yang berkenan kut...” Ekor matanya memandangku. Ketawa aku meletus
juga akhirnya.
“Aku tanya ni...” Mencerlung dia memandangku.
Aku masih dengan tawaku yang berbaki. Sahabatku ini memang terlebih prihatin.
Aku bersyukur punya sahabat sepertinya.
“Mana boleh bagi tahu kau. Tak ada faedah
pun.” Panjang muncungnya saat aku berkata begitu.
“Bila tiba masanya, kau akan tahu jugak.” Wajah tidak puas hati selalu
ditayang.
“Ermm....” Aku tahu dia merajuk. Biarlah.
Asalkan hati aku berbunga riang saat ini.
Naimi, Naimi. Mengalahkan perempuan!
Terus aku teringatkan si dia yang aku cinta.
Dah bertahun aku mencintai dia dan bertahun
jugalah aku terpaksa menanggung rindu. Tidak pernah sekalipun aku meluahkan
rasa cintaku. Bilalah agaknya aku akan dipertemukan dengannya? Rasa rindu yang
menebal. Aku rasa sudah tidak tertahan lagi. Aku ingin luahkan cintaku
kepadanya. Biar dia tahu betapa aku menginginkannya.
Selalunya, aku hanya melihat dia dari jauh. Saat
aku lihat ramai yang rapat dengannya, hati aku jadi iri. Cemburu tak menentu
aku jadinya. Tika sahabatku bercerita tentangnya, pasti aku akan jadi pendengar
yang setia.
Sahabatku sendiri pelik dengan kelakuanku dan
aku hanya tersenyum. Senyuman yang membuatkan sahabatku tenang.
“Zarif, jom pergi makan. Aku laparlah.” Aku
hanya mengangguk.
“Kita nak makan apa ya?” soalku kepadanya.
“Kita makan nasi kukus. Lama aku tak makan.”
“Memang aku nak ajak kau makan nasi kukus
sebenarnya,” ujarku kepadanya. Bertambah lebar senyumanku. Makanan kegemaranku
akan dijamah sebentar lagi.
“Kau ni memang.”
“Biasalah.” Tawaku meletus. Walaupun perlahan
cukup didengari olehnya saja. Aku memang malu untuk ketawa di tempat umum.
Kami beratur untuk membeli makanan. Sesudah
itu kami ke meja makan.
“Kau tak rasa pelik ke? Ramai yang tengah
pandang kau,” ucapnya sambil memandang sekeliling.
“Apasal pulak?”
Aku menjongketkan bahuku.
“Untunglah kau ada ramai peminat dalam diam,”
tambahnya lagi. Aku tahu dia iri lihat aku begini. Tapi apakan daya. Perasaan
cintaku pada si dia masih tetap utuh di hatiku.
“Apalah kau ni...” Aku kekadang tak faham
juga dengan sikap sahabatku ini.
“Macam mana dengan awek yang nak kat kau dulu
tu?” soal Aimi.
“Aku tak minat kat dia. Cintaku hanya untuk
si dia sahaja,” ungkapku spontan. Ya! Aku memang mencintai si dia. Senyuman di
bibirku tidak lekang langsung. Betapa bertuah mencintainya walaupun cintaku
tidak pernah terbalas.
“Siapa? Beritahu aku. Takkan dengan aku pun
kau nak berkira kut.” Sahabatku ini
memang pandai bab pujuk. Pasti aku akan cair sebentar lagi.
“Syahidah,” jawabku ringkas. Malas nak layan
sahabat ku ini. Aku menyuap nasi ke bibir. Kelopak mataku terpejam seketika.
Indahnya nikmat ini!
“Untunglah.”
Aku menjongketkan kening. Tanda tidak faham
apa yang dia bicarakan.
“Sudahlah ramai peminat, ada teman hati
pula,” ucapnya sambil menggosok bahuku.
Aku hanya tertawa dengan gelagat sahabatku.
Ada-ada saja dia ini!
*****
Lagu nasyid di corong radio menggamit
perasaan rinduku ketika ini. Lagu ini menambahkan lagi rasa rindu di hati. Ya
Allah, pertemukanlah aku dengannya. Hatiku merintih. Meminta moga-moga ada
jodoh antara aku dan si dia.
“Apa yang kau menungkan tu?” Aimi, sahabatku
mendekatiku.
“Aku rindu dia... tak tertahan rasanya.”
Memang aku merinduinya saat ini.
Hanya Yang Esa mengerti perasaanku. Rasa
rindu yang tidak pernah hilang meskipun sesaat. Bila rindu hadir di hati, aku
rasa bahagia juga sebenarnya.
“Kau ni kemaruk cinta betullah. Tak faham aku
dengan kau ni.” Aimi membulatkan mata.
Aku tahu dia pelik dengan perasaanku. Aku
menguntum senyuman paling manis buatnya.
“Sumpah, aku memang merinduinya.” Aku
berkata-kata sambil bangun dan bergerak ke katil. Rasa mengantuk yang amat
sangat. Aimi hanya menggelengkan kepala sahaja. Mungkin bingung agaknya.
*****
Hari ni, hari terasa sungguh memenatkan
bagiku. Badanku terasa penat. Banyak assignment
yang harus aku siapkan. Untung pelajar fakulti lain. Mereka tak perlu
bertungkus-lumus seperti aku.
Sebagai seorang pelajar Art and Design,
memang banyak cabarannya. Ini merupakan minggu terakhir untuk semester ini.
Hatiku mengucap syukur.
“Jom balik, Zif.” Aimi menyapaku dari
belakang. Aku pandang sekilas wajahnya. Kami menuruni curam untuk ke tempat
meletakkan motorsikal.
“Kau asyik termenung. Kuat betul penangan si
Syahidah tu. Sampai kau boleh jadi angau macam ni.”
Aku hanya tersenyum. Ya! Memang hebat
penangannya hingga aku sangat mencintainya.
“Kau ni macam-macam...” Aku menepuk bahu
Aimi.
“Sejak bila lagi kau kenal dia?” soal Aimi
kepadaku. Aku tersenyum. Aku mendekatinya.
“Sejak pertama kali aku mendengar kisah
tentangnya. Pada saat tu, aku mula jatuh cinta padanya. Aku hanya melihatnya
dari jauh. Untuk mendekatinya aku tidak mampu, Mi. Aku mencintainya dalam
diam.” Ucapku tenang. Segala isi hati aku curahkan juga akhirnya. Jatuh rahang
si Aimi mendengar ceritaku. Mungkin pelik barangkali.
“Habis tu, kira dia tak tahu kau cintakan dia
?” Aku hanya mengangguk laju.
“Dia tak tahu pun yang aku cintakan dia.
Sebab aku tak pernah beritahu dia,” ucapku selamba.
Aku lihat Aimi menggaru kepalanya. Entah apa
yang difikirkan pun aku tak tahu. Mungkin dalam hatinya sedang mengatakan aku
sedang biul mungkin.
Tapi tak apa. Janji aku setia dengan cintaku
itu.
*****
Suasana tika ini begitu gamat sekali. Dari
kejauhan masih terdengar dentuman-dentuman yang bisa menggegarkan jantungku
ini. Aku masih lagi bersandar pada tembok bangunan yang ku kira bila-bila masa
sahaja akan roboh menyembah bumi yang berdarah ini.
Tanganku masih lagi lincah menulis kisah
tentang kehidupan di sini. Menulis pada sebuah buku yang berada dekat denganku.
Aku tidak berpeluang untuk menggapai sebarang alat canggih memandangkan
semuanya telah hancur disebabkan mereka yang durjana itu.
Masih ku ingat lagi. Hari itu, aku berada di
kem-kem yang menempatkan para mujahidin dan orang awam yang tercedera dalam
peperangan itu. Terkocoh-kocoh Aimi datang menghampiriku.
“Rumah kita telah
hancur. Sebentar tadi baru terkena bom dari pesawat.” Riak kecewa
menyelubunginya. Aku tahu, Aimi sedih sekali. Lelaki itu tetap manusia biasa.
“Semua barang kita tak sempat nak ambil.
Semua berlaku sekelip mata. Laptop
kau pun aku tak sempat nak ambil beb.”
Aku memandangnya.
“Tak apalah, Mi. Bukan rezeki kita. Dah,
pergi sana. Kita kat sini punya tanggungjawab. Barang tu musnah tak apa. Janji
kita jalankan tanggungjawab kita.” Aku harus menenangkan hati Aimi. Kalau bukan
aku siapa lagi. Hanya aku dan dia sahaja negara ini. Dia mengangguk lemah
sambil berlalu pergi.
Tanganku masih lincah merawat tangan seorang
lelaki tua yang mungkin berumur lewat 80-an. Teruk sekali lukanya hingga
menampakkan cebisan isi yang terkoyak teruk.
Sesekali mukanya berkerut menahan sakit. Ah!
Kasihan sekali aku melihatnya. Pasti sakit yang amat ditanggung tika ini.
Wajahnya kelihatan tenang. Jelas terlihat nur pada wajahnya yang bening itu.
Sekali pandang seperti tiada kegusaran yang harus dia resahkan.Hanya
ketenangan!
“Pak cik sakit?” soalku kepadanya. Aku cuba
berbasa-basi dengannya untuk menghilangkan rasa sakit yang ditanggung. Dia
hanya menggeleng sambil tersenyum.
“Tak sakit pun. Pak cik dah terbiasa begini.
Pak cik dah lali dengan semua ini.” Ucapnya dengan senyuman yang masih bersisa.
Sesekali dia mengusap lembut kepalaku sementara tanganku masih lagi merawat luka pada tangan sebelah kirinya.
“Pak cik tak takut semua ni? Mana keluarga
pak cik yang lain?” soalku lagi. Terasa tenang sekali bersama dengannya. Dapat
aku rasa belaian kasih sayang daripada mereka yang jauh denganku saat ini. Bila
teringat kembali pada mereka yang berada jauh di Malaysia, hatiku dipagut rasa
sebak sekali. Perasaan rindu bertamu di hati.
Aku lihat matanya berkaca. Pasti sesuatu
telah berlaku kepada ahli keluarganya. Perasaan bersalah menguasai diriku.
*****
Bunyi rengekan anak kecil mematikan
lamunanku. Aku bangun dan menghampiri Ammar. Kanak-kanak yang baru berusia tiga
tahun. Polosnya wajah ini. Berkening lebat dan bermata biru. Sekali pandang tak
ubah seperti anak mat saleh.
“Ummi, abi…” Kata-kata itu terluah dalam lena
Ammar. Sungguh, hatiku sayu mendengarnya. Anak sekecil ini yang tidak berdosa
menanggung beban yang berat. Tubuhnya menggigil menandakan dirinya dalam
kesejukan.
Aku membuka jaketku lalu menyelimut tubuh
kecil itu. Dia merengek lagi menyebut nama orang tuanya. Ya Allah, besarnya
dugaanmu untuk budak sekecil itu. Aku berbaring menghadapnya lalu aku rangkul
kemas tubuh kecil itu. Hatiku sudah lama jatuh sayang kepadanya. Ayat tiga Kul
aku baca. Perlahan lahan aku tiup pada ubun-ubunnya. Mudahan Allah menenangkan
jiwanya.
Masih teringat saat aku dan Ammar berjumpa
buat pertama kalinya.
“Ummi… abi…” Aku yang baru sampai di tempat
kejadian hanya melihat sekilas ke arah kanak- kanak yang sedang duduk menangis
tersedu sedan di sisi mayat. Tanpa kata, aku terus melangkah menghampirinya.
“Kenapa ni?” soalku kepada budak itu. Dia
masih lagi menangis teresak-esak. Dia memelukku erat. Aku termangu.
“Umi, abi…” Dia menunjukku ke arah mayat berpasangan yang terbaring lesu di atas
jalan raya. Berdekatannya terdapat sebuah kereta yang rentung. Yang tinggal
hanya rangka. Aku pasti itu ibu bapanya. Aku membalas pelukannya. Dia masih
lagi teresak di sampingku.
Aimi datang menghampiriku. “Itu mangsa yang
terkorban. Daripada maklumat orang ramai, mereka kata kedua-dua pasangan itu
menghampiri kereta mereka. Tiba-tiba, tanpa sedar sebuah bom dilancarkan
berhampiran mereka dan terkena kereta itu dan terus meletup,” terang Aimi
sambil tangannya menunjukkan ke arah kereta yang telah hancur itu. Aku hanya
mengangguk. Anak kecil itu masih lagi menangis.
“Mungkin ini anak mereka,” sambung Aimi lagi
sebelum berlalu menghampiri mangsa lain yang turut tercedera.
“Walid…” aku terasa seseorang sedang
memanggilku. Lenyap lamunan panjangku. Ammar
sedang duduk di sisiku sambil
tersenyum manis. Aku menggosok mataku sambil cuba untuk bangun. Setelah
berdiri, Ammar memimpinku ke arah ruang solat yang telah dikhaskan di dalam kem
itu.
Aku hanya mengambil wuduk dengan debu sahaja
memandangkan untuk mendapatkan air di sini amat susah sekali. Dapat aku rasa
betapa deritanya mereka di sini. Usai bertayamum, aku berjalan ke satu ruang
untuk menunaikan solat. Langkahku terhenti tatkala melihat Ammar berada
dihadapanku dengan senyuman sambil menghulurkan sejadah kepadaku. Aku
menyambutnya dengan satu kucupan melekap di dahi Ammar sebagai tanda terima
kasih.
“Walid jadi imam ya. Ammar ikut walid kat
sini.” Ammar berkata-kata setelah aku mula membentangkan sejadah. Dia berdiri
dengan sejadah yang lain di belakangku. Aku hanya mengangguk. Bertuah kedua-dua
orang tua Ammar mempunyai anak yang sudah terdidik dengan baik walaupun baru
berumur tiga tahun.
Usai memberi salam. Aku mula mengangkat
tangan untuk berdoa.
“Ya Allah, hamba bersyukur kerana diberi
kenikmatan yang tidak terhingga.” Hatiku terasa perit apabila mengenangkan
rakyat di sini yang serba kekurangan sedangkan aku di Malaysia dahulu mempunyai
kehidupan yang mewah.
“Ya Allah, ampunilah dosa hamba, dosa kedua
ibu bapa hamba yang jauh di sana. Ya Allah, limpahkanlah rahmat-Mu kepada
mereka dan kurniakanlah kepada mereka kesejahteraan dunia dan akhirat. Ya
Rabbana, andai ditakdirkan kepadaku untuk terus hidup di sini, hamba bersyukur
sekali. Kurniakan kepada hamba sedikit kekuatan untuk mengharungi dan
meneruskan ke arah jalan ini. Selamatkanlah warga di sini. Lindungilah mereka,
ya Allah.
Ya Muhaimin, hamba bersyukur Engkau telah
memakbulkan doa hamba yang satu itu. Sesungguhnya, hamba berasa begitu dekat
sekali dengannya. Setiap masa dia ada bersama hamba. Terima kasih, ya Allah
kerana Engkau, hamba tidak pernah berputus asa untuk memilikinya biarpun dia
masih belum datang kepada hamba. Sekurang-kurangnnya, Engkau tahu betapa aku
amat merinduinya. Amin...”
Usai berdoa Ammar datang menghampiriku.
setelah bersalam dia duduk di atas ribaku. “Walid, abi pernah cakap kalau kita
mati syahid, kita akan masuk syurga kan? Abi dengan umi mati syahid kan walid?”
Aku memandangnya sambil tersenyum. Lantas aku
peluk tubuhnya dan mengangguk. Aku sayangkan Ammar. Terlalu sayang. Dia
bagaikan anakku setelah kedua-dua orang tuanya meninggal dunia. Hidupku
bagaikan telah terisi dengan kehadirannya.
Orang yang cukup petah dan cerdik. Itulah
salah satu sebab mengapa aku sayangkannya. Walaupun dia berseorangan di dunia
ini, dia tidak pernah mengeluh. Malah sentiasa tersenyum. Ungkapan yang tidak
pernah aku lupa dari mulut kecilnya, “Yang pergi tetap akan pergi. Yang hidup
kena teruskan kehidupan.”
*****
Siapa
sangka aku telah hampir dengan si dia. Takdir telah menentukan segalanya. Dulu
aku hanya berharap akan meluahkan rasa cintaku kepadanya melalui kata-kata.
Kini bukan lagi. Tapi aku masih belum mengungkapkan rasa cintaku kepadanya.
Hanya Allah sahaja yang tahu betapa aku mencintai dirinya.
Ammar datang kepadaku. Ditariknya tanganku
untuk berdiri. Hari ni, semua mangsa kelihatan sihat. Alhamdulillah, berkat
bantuan orang ramai. Walaupun masih ramai yang kritikal, namun tidak
menunjukkan sebarang tanda negatif. Semuanya masih normal. Tuhan masih
menyayangi diri mereka. Ya, aku harap Tuhan panjangkan umur mereka untuk
meneruskan perjuangan murni ini.
Aku mendekati ahli sukarelawan yang lain.
Mereka kelihatan tak menang tangan membantu dan merawat mangsa yang terbaru.
Langkahku pegun bila aku manghampiri Pak Cik Muhammad. Mangsa yang terluka
teruk di tangan beberapa hari lalu. Dia kelihatan masih lagi khusyuk membaca
Al-Quran. Helaian demi helaian dibeleknya. Aku duduk di atas kerusi di sisinya.
Ammar aku letakkan di atas ribaku.
“Assalamualaikum pak cik,” tegurku sambil
mengorak senyuman mekar.
Dia memandangku. Senyuman dihadiahkan
kepadaku. Dia masih lagi murah dengan senyumannya.
“Wa’alaikumsalam,” jawabnya sambil menutup
kalam Allah, Al-Quran.
“Anak sihat?” sambungnya lagi.
Aku hanya mengangguk. Rasa malu mula
menghentak hatiku. Sepatutnya aku yang bertanya khabar kepadanya, bukan dia
yang bertanya khabar kepadaku. “Saya sihat, pak cik pula macam mana? Masih lagi
sakit kat tangan tu pak cik?”
Dia menggeleng kepalanya. “Semua ini atas
kebaikan anak. Jika tiada kamu, tak tahu apa yang akan jadi kepada pakcik,
mungkin dah mati ditembak Zionis itu,” tuturnya sambil ketawa.
Aku hanya tersenyum. “Tak perlu berterima
kasih kepada saya pak cik, ini tanggungjawab saya sebagai orang Islam. Saya
wajib membantu saudara seagama saya. Cuma saya kesal, masih ramai lagi di luar
sana yang alpa dengan kehidupan mereka. Langsung tidak mahu membantu saudara
seagama mereka.”
Memang kesal sekali. Sikap manusia yang
memandang remeh tentang perkara ini. Aku hanya mengeluh lemah.
“Tak baik mengeluh. Anak ada di sini pun kami
dah bersyukur. Sekurang-kurangnya ada juga insan yang sudi membantu kami. Anak nak dengar tak
kisah menarik tentang di sini?” Aku hanya mengangguk.
“Beberapa hari lepas, Zionis telah masuk ke
dalam kawasan kita. Komander mengarahkan agar kita tidak menembak mereka.
Tetapi tiba-tiba senjata kita berfungsi dan menembak mereka. Semua kelihatan
terkejut. Bila habis sahaja adegan itu, askar kita kelihatan terkejut kerana
peluru langsung tidak tersentuh. Itulah kebesaran Allah kepada kita. Dia akan
membantu kita dengan.”
Aku yang mendengar bertambah semangat.
Allahuakhbar! Besarnya keagungan-Nya. Terasa kerdil sebagai seorang manusia
yang memiliki banyak kekurangan. Ammar juga kelihatan bersemangat. Pelbagai
keletah yang ditunjukkan olehnya. Dibuat tangannya seolah-olah senapang untuk
menembak Zionis. Kami hanya ketawa melihat telatahnya.
“Allah sendiri telah berfirman bahawa Baitul
Maqdis adalah kawasan yang terpelihara. Kita sendiri tahu bukan, di sini Nabi
Sulaiman memerintah segala macam benda termasuklah jin. Kita tidak tahu siapa
yang menolong kita hari itu. Yang pasti mereka ada bersama kita.” Sambungnya
lagi setelah habis kami melepaskan tawa
“Betul tu, pak cik. Kita sepatutnya bersyukur
kepada Allah.” Dia mengangguk. Setuju dengan kata-kataku.
*****
Aku memimpin tangan Ammar. Kasihan dirinya.
Seharian terperuk di dalam kem mungkin akan menyebabkan dia terlalu bosan. Aku
berjalan melalui lurah-lurah di Tebing Barat. Kelihatan banyak kemusnahan yang
terjadi di sini.
Bukit juga dipenuhi dengan batu-bata yang
musnah. Kelihatan seperti padang jarak padang terkukur. Tiada satu pun yang
kelihatan. Masjid juga kelihatan hancur dibom oleh Zionis tempoh hari.
Kawasan ini agak lengang. Tiada siapa yang
berada di sini. Hanya aku dan Ammar sahaja. Selalunya ramai yang bermain di
sini. Tapi entah kenapa hari ini tiada sesiapa di sini. Pelik.
Serpihan-serpihan bom aku pegang dan aku lempar ke arah benteng tinggi yang
terletak agak jauh dari sini. Benteng yang memisahkan antara Israel dan
Palestin. Kasihan rakyat Palestin.
Kesemua tanah mereka di rampas oleh Zionis
yang kejam. Tengoklah! Ladang sayur sekarang sudah menjadi tembok milik Zionis.
Kejamnya mereka!
Ammar melepaskan tangannya dari genggamanku.
Dia berlari ke arah celah-celah bangunan yang runtuh. “Ammar!!!” Belum sempat
aku berlari ke arahnya bunyi dentuman yang begitu kuat menampar telingaku.
Dapp! Jantungku seakan terhenti. Ya Allah.
Aku melilau mencari kelibat Ammar. Ya Allah,
bimbangnya aku tentang Ammar. Bunyi dentuman semakin hampir denganku. Aku harus
mencari Ammar! Bantu aku, ya Allah. Leka aku mencari kelibat Ammar hingga
tiba-tiba terasa satu hentakan kuat di kepalaku. Pandanganku terasa berbalam
saat ini. Adakah ajalku telah tiba? Bagaimana dengan Ammar nanti?
Aku jatuh tersungkur. “Walid!!!” kedengaran
suara Ammar sayup-sayup memanggil namaku sebelum semuanya bertukar menjadi
gelap.
“Aku tahu kau amat rindukanku, aku tahu kau
amat mencintaiku. Oleh itu, kuatkan semangat kau untuk bersamaku. Aku menantimu
wahai kekasih.” Bagaikan terdengar suara berbisik di telingaku.
Bibirku mengoyak senyuman hamba.
******
Lambat-lambat aku membuka mata. Kepala yang
masih sakit aku tahan juga. Ammar! Mataku terbuka luas. Aku memandang keadaan
sekeliling. Semuanya kelihatan asing buatku. Aku di mana? Mataku melilau
mencari kelibat Ammar. Tiada. Wajahku mula terasa panas. Aku berada dalam
sangkar yang berjeriji. Suasana begitu gelap di dalamnya. Aku cuba menutup mata
perlahan-lahan. Sakit pada bahagian kepala memaksa aku berbuat begitu.
Aku membuka mata ketika terdengar suara orang
sedang berjalan. Aku cuba menutup mataku, tidak mahu jika orang perasan aku
sudah sedar. Aku mahu melihat dulu siapa mereka yang sebenarnya. Kelihatan dua
orang lelaki bertubuh tegap lengkap berpakaian askar menghampiriku. Mereka
membuka kunci sangkar lalu menapak ke arahku.
“ Bangun!”
Salah seorang daripada mereka mengejutkan aku. Aku masih lagi berpura-
pura tidak sedarkan diri. Ketika itu aku merasakan sakit yang amat sangat pada
bahagian perutku. Mereka menyepak diriku seperti sedang menendang bola.
Ya Allah, berikanlah hamba-Mu ini kekuatan.
“Arghh...” Aku mengerang kesakitan. Terasa
senak!
Ya Allah, sakitnya. Mereka menggapai
tanganku kasar supaya aku membuntuti langkah mereka. Aku cuba juga untuk melangkah meskipun
kepalaku sangat sakit. Mereka mengheretku tak ubah seperti binatang ternakan
yang dicucuk tali.
Aku mengekori langkah mereka beriringan.
Dapat aku lihat masih ramai lagi yang berada dalam sangkar ini. Bukan hanya aku
seorang. Wajah mereka seorang demi seorang penuh dengan riak terseksa. Pintu
besar dibuka. Suasana begitu panas terik sekali.
Mereka mengheretku hingga ke tengah kawasan
lapang. Ramai tahanan yang berada di sana. Ada yang diikat tangan, ada yang
diikat kepala dengan tali. Memang dahsyat sekali penyeksaan mereka terhadap
tahanan. Kejam sungguh!
Aku ditolak dengan kasar hingga tersungkur di
atas pasir. Mereka menghampiriku dengan penuh gelak ketawa. Tali dicapai dan
diikat kedua belah tanganku. Aku cuba meronta tetapi ditepis kasar. Sakit yang
tidak terperi. Aku hanya diam. Sakit di kepala bertambah dengan satu tamparan
kuat hinggap di pipi.
Mereka berlalu meninggalkan aku. Mataku
memandang mereka sehingga mereka hilang dari pandangan mata. Aku menoleh ke
kiri. Ramai yang mendapat nasib sama sepertiku.
“Aku tahu kau amat rindukanku, aku tahu kau
amat mencintaiku. Oleh itu, kuatkan semangat kau
untuk bersamaku. Aku menantimu
wahai kekasih.” Kata-kata itu masih lagi
terngiang-ngiang di peluput telingaku. Entah siapa yang bercakap denganku
sebentar tadi.
Ammar! Aku amat risaukan Ammar. Ke mana dia
menghilang? Adakah dia selamat? Baru aku teringat bunyi letupan kuat sebelum
aku jatuh? Tidak! Tak mungkin! Tak mungkin Ammar sudah...
Aku terbaring di atas pasir sambil
meronta-ronta. Air mata makin deras membasahi pipiku. Aku tidak sanggup
kehilangan Ammar! Aku sayang dia.
Seorang lelaki datang menghampiriku. Aku
menangis teresak-esak. Dia cuba menenangkan diriku. Aku tidak sanggup. Ammar
satu satunya insan yang aku miliki tika ini.
“Beritahu kami di mana Muhammad!” Aku dibawa
masuk setelah lima jam aku dijemur di tengah panas. Aku yang sedang duduk
berlutut mendongak sedikit ke atas. Siapa Muhammad? Aku tidak kenal.
Anak matanya yang kebiruan menerobos dalam
anak mataku.
“Aku tak kenal siapa dia.” Aku cuba melarikan
pandangan. Merah padam wajahnya menahan marah. Pangg! Satu tamparan hinggap di
pipiku. Pedih!. Lagi tajam matanya memandangku. Dia tersenyum sinis.
“Kau ingat aku bodoh! Kau jangan nak tipu
aku! Cepat beritahu aku di mana dia!” Askar itu mula menengking. Aku tersentak.
Siapa Muhammad? Aku tidak kenal sebaris nama
itu. Wajahku tunduk ke bawah. Jantungku sudah berdetak laju. Hanya Tuhan saja
yang tahu perasaanku ini.
“Pekak!” Makin kuat dia menengking kepadaku.
Kepalaku ditunjal beberapa kali. Dia merengus kasar sebelum duduk di atas
kerusi dihadapanku. Aku masih lagi membatu.
“Aku memang tak kenal siapa Muhammad,” terangku
lemah. Sakit di kepala, makin hari makin kuat. Entah kenapa aku sendiri tidak
tahu. Sejak dipukul hari tu, sakit makin menjadi-jadi.
Pangg!! Sekali lagi pipiku menjadi mangsanya.
Dapat aku rasa cecair pekat mula menuruni lekuk pipiku. Terasa pedih yang amat
sangat pada bahagian pipi.
“Lelaki yang kau selamat hari tu bukankah
Muhammad? Kau jangan ingat aku tak tahu. Dah lama aku perhatikan dia! Kerana
dia, ramai orang-orang aku dah mati!” bentaknya kuat. Aku yang mendengar masih
lagi tidak mengerti.
Kelopak mataku tertutup seketika. Pak Cik
Muhammad!
“Arghh...” Aku menyeringai kesakitan. Sakit
kepala menyerang lagi. Aku sempat tersenyum sinis sebelum jatuh tersungkur. Aku
takkan beritahu di mana Pak Cik Muhammad.
*****
Aku duduk termenung di hadapan jeriji besi.
Cahaya bulan waktu malam ini tidak kelihatan kerana temboknya yang terlalu
tinggi. Sebentar tadi, aku sempat mendengar mereka baru berbincang untuk
memusnahkan bangunan kerajaan Hamas. Kejam sekali mereka.
Tanganku menyeluk saku dan mengeluarkan satu
buku kecil. Buku yang aku simpan sejak dari hari pertama aku datang lagi. Semua
yang dipesan oleh papa dan mama aku catat. Sudah lama aku jangkakan semua ini
akan berlaku.
Papa sendiri pernah beritahu bahawa bukulah
barang yang paling selamat untuk
disimpan sewaktu berada di sini. Oleh sebab itu, aku menulis. Ibarat diari aku.
Helaian demi helaian aku selak. Helaian terhenti pada muka surat yang ke
seratus.
Fadilat membaca dan amalan membaca
surah surah pilihan.
Surah Al-Falaq dan An-Nas
Ingatlah saya beritahu kepada kamu
tentang ta’awuz (doa perlindungan) ialah qul a’u zu birabbi.
Untuk menaikkan semangat berani
membela kebenaran daripada kekejaman orang yang memegang kuasa, orang-orang
jahat. Bacalah kedua surah ini 100 kali.
Surah An-Nas
Bacalah surah ini apabila hendak
melakukan kerja-kerja yang rumit atau berat atau hendak keluar rumah,
insya-Allah akan mendapat pertolongan Allah.
Surah Al Khautsar
Menurut hadis Rasulullah, sesiapa
yang membaca surah Al-Khautsar maka Allah akan memberikan minuman dari syurga.
Sesiapa yang membaca surah
Al-Khautsar 7 kali semasa berada dalam keadaan ketakutan, Allah S.W.T akan
memberikan perlindungan terhadapnya.
Pen yang terletak di celahan muka surat aku
tarik keluar. Muka surat yang seterusnya aku belek. Tika ini, jiwaku kosong.
Ya! Kosong sekali. Aku bersandar pada dinding batu. Aku teringatkan Ammar.
Suara Ammar memanggil namaku masih lagi
terngiang-ngiang di cuping telingaku. Perlahan-lahan air mata mengalir. Aku
terlalu rindukan Ammar. Di mana dia sekarang? Papa, mama... Zarif sayang
kalian. Ya Allah, lindungi anakku.
Tika ini, hatiku mula pasrah. Aku tidak kisah
jika waktu ini juga aku terpaksa mati. Aku sudah mengalah. Tiada apa yang dapat
aku lakukan sekarang. Aku menghentakkan kakiku di atas lantai. Aku tidak
sanggup menanggung lagi.
“Kau kata kau cintakan aku, mana janji kau
untuk bersama aku? Kau terlalu cepat mengalah, Zarif. Allah berikan kepada
engkau sedikit cubaan kau sudah mengalah? Aku tidak sangka sikap kau begini
yang sebenarnya.” Satu suara berbisik di cuping telingaku. Aku menggelengkan
kepalaku. Siapa yang sedang berbicara denganku saat ini?
“Dulu, kau cemburu melihat orang ramai datang
kepadaku. Kini bila aku telah datang kepada kau, kau sanggup mengalah? Kau dah
lupa janji kau pada papa dan mama? Mana janji kau itu?” bisik suara itu lagi.
Aku masih lagi tersengguk-sengguk di atas
lantai menahan esakan yang semakin menggila. Aku memeluk kemas lututku.
Kepalaku disembamkan di atas kepala lutut. Aku menggeleng beberapa kali. Aku
tidak kuat!
“Hey, aku sedang bercakap dengan kau ni. Mana
janji kau? Aku mahu tuntut janji kau dengan aku. Wahai Muhammad Zarif Al Zikry,
sesungguhnya ujian itu hanya sementara sedangkan kebaikan itu adalah yang
paling manis. Allah mendatangkan kepada engkau musibah supaya engkau terus kuat
menghadapi dugaa yang bakal mendatang. Sesungguhnya Allah itu bersama engkau.
Dia melihat apa yang telah engkau lakukan dan Dia melihat sejauh mana hatimu
terus ikhlas menerima semuanya.” Makin kerap suara itu berbisik.
“Siapa engkau?”
Senyap.
“Aku yang kamu selalu rindukan itu. Jom
bersama aku memerangi mereka. Kau sudah lupa apa yang telah mereka lakukan
kepada engkau saban hari? Kau tak rasa diri kau hina di hadapan Allah? Kau dah
lupa apa yang mereka telah lakukan pada saudara engkau? Datanglah bersama aku.”
Bertubi-tubi soalan yang diajukan kepadaku. Aku masih lagi memeluk lutut. Lama
aku berdiam diri. Suara itu mula hilang dari pendengaranku.
Aku memang hina. Terasa jijik untukku
menyembah Tuhan dengan keadaanku yang kotor ini. Malu aku rasa untuk berdepan
dengan Tuhan. Ini semua gara-gara Zionis.
Sedang leka aku bertayamum, mereka datang
menghampiriku. Jelas terpancar di wajah mereka raut muka yang bengis. Di tangan
mereka terdapat beberapa botol arak. Kehadiran mereka aku tidak endahkan.
Tanganku masih lagi lincah bertayamum. Tanpa aku sedar mereka menyimbahi
tubuhku dengan menggunakan air kencing setan yang dibawa tadi.
Ketawa mereka makin menjadi-jadi. Ikutkan
hati yang panas, ingin saja aku pukul mereka. Tapi aku tidak boleh melakukannya
memandangkan mereka lebih ramai berbanding
aku yang hanya seorang diri.
“Inilah dia orang Islam. Yang lemah! Hanya
mampu berdiam diri saat dihina! Mereka memang kaum yang lemah!” Sinis saja
suara mereka pada pendengaranku.
Aku mengetap bibir. Bukan tak mampu melawan.
Aku hanya seorang!
Makin galak mereka mentertawakan aku. Sebotol
demi sebotol arak mereka curahkan ke mukaku. Salah seorang daripada mereka
mencengkam kuat kedua-dua belah pipiku dan memaksa aku untuk mendongak ke atas.
Beberapa saat kemudian, tangannya makin kuat mencengkam pipiku supaya aku
membuka mulut. Terasa perit yang amat sangat.
Botol arak diangkat sedikit dan hampir saja
masuk ke dalam bibirku. Aku cuba menepis tetapi gagal apabila seorang lagi
memegang kepalaku. Bibirku diketap kuat. Tak mahu najis itu masuk ke dalam
tubuhku. Cukuplah terkena pada badan sahaja.
Dengan kudrat aku yang makin lemah, mereka
berjaya membuka mulutku.
“Aku tahu kau tak pernah rasa kan? Sekarang
kau rasa puas-puas. Biar Tuhan kau murka pada kau!”
Terasa arak tersekat di kerongkongku. Baunya
yang busuk amat meloyakan aku. Aku ludah beberapa kali arak yang masuk ke dalam
mulutku. Makin aku melawan, makin banyak air kencing syaitan itu mereka
masukkan ke dalam mulutku. Dunia ini, aku rasa seakan berputar. Inilah kali
pertama aku meminum najis ini. Dengan paksaan!
Terasa duniaku kelam. Mudahan hari esok ada
nikmat yang bakal menjelang.
******
Berkali-kali aku cuba membuka mataku apabila terdengar bunyi bising
dari luar dan akhirnya aku berjaya. Berdas-das tembakan yang kedengaran. Aku
cuba untuk bangun. Mataku masih lagi rasa berpinar. Bau busuk pada badanku
masih lagi kuat. Tekakku terasa loya.
Derapan kaki orang sedang berjalan kedengaran
makin kuat. Suara orang sedang mengucapkan syukur masih lagi berbunyi. Pintu
gerigi dibuka. Aku mendongak. Askar Hamas! Adakah aku sudah bebas? Terima kasih,
ya Allah. Dua orang askar Hamas datang menghampiriku lalu memapah aku keluar.
Kepalaku masih lagi sakit. Aku akhirnya
rebah.
Bunyi seperti orang sedang mengaji menguatkan
lagi mataku untuk terbuka. Aku memandang keadaan sekeliling. Wajah Pak Cik
Muhammad yang sedang tersenyum terbias di kornea mataku. Dia menutup Al-Quran
yang selalu dibacanya.
“Dah sedar? Alhamdulillah.” Pak cik Muhammad
menadah kedua belah-tangannya seperti sedang mengucapkan syukur.
Soalan mengapa Zionis mencarinya yang ingin
aku tanyakan kepada Pak Cik Muhammad aku pendamkan saja. Saat ini bukan masa
yang sesuai. Wajah gembira yang ditunjukkan olehnya cukup membuat hatiku
tenang.
“Walid!” Aku menoleh ke belakang. Ammar
berlari-lari menghampiriku. Ammarku masih lagi hidup. Aku bersyukur sangat, ya
Allah. Ammar memelukku erat. Tangisan jelas kedengaran. Aku membalas
pelukannya. Rasa rindu aku kepadanya akhirnya dapat aku lepaskan tatkala
melihat dirinya masih lagi selamat.
“Alhamdulillah. Kau dah sedar. Aku bimbang sangat.” Aimi
mendekatiku. Naimi atau dikenali sebagai Aimi seorang lelaki yang baik pada
pandanganku.
“Badan kau panas lagi. Jom makan ubat.” Aku
menggeleng lemah. Dia mendengus. Mungkin geram dengan sikapku ini.
“Apa yang kau tulis tu ?” soalnya lagi sambil
menunjuk pada buku di sisiku. Aku cuba bangun namun kudratku saat ini begitu
lemah sekali.
Namanya Syahid,
setiap hari bayanganku hanyalah ingin bersamanya.
aku sangat mencintainya,
aku sangat merinduinya,
Ya Allah, pertemukanlah jodohku dengannya,
izinkan aku mati bersamanya.
betapa nikmatnya saat mati bersamanya.
setiap hari bayanganku hanyalah ingin bersamanya.
aku sangat mencintainya,
aku sangat merinduinya,
Ya Allah, pertemukanlah jodohku dengannya,
izinkan aku mati bersamanya.
betapa nikmatnya saat mati bersamanya.
“Inilah Syahidah. Nama sebenarnya Syahid,”
ujarku lemah. Segala sendiku menggeletar saat ini.
“Aku mencintainya sejak dahulu lagi. Aku
selalu merinduinya. Aku ingin mati bersamanya. Aku mahu mati bersamanya.” Air
mata terasa mahu menitis. Kerana syahid, aku rela jika air mataku merembes
keluar.
“Apa yang kau cakap ni...” ucapnya lagi.
“Mi, dah lama aku meminta agar aku dijodohkan
dengan syahid. Hati aku sakit saat melihat orang yang tidak berdosa mati. Perih
sangat. Aku mahu membantu mereka. Aku nak tegakkan agama Allah.” Air mataku
akhirnya mengalir jua. Aimi pantas memeluk aku.
“Aku faham perasaan kau. Jangan menangis.”
Aimi mengusap lembut bahuku. Dialah sahabat susah dan senangku. Terima kasih,
ya Allah kerana mengurniakan dia kepadaku.
“Mi, doakan semoga aku bertemu jodoh dengan
syahid.”
“Insya-Allah. Kau akan bertemu dengannya.”
Aku dapat rasa baju dibelakangku basah. Aku tahu Aimi juga sedang menangis. Ya
Allah, jika itu rinduku, cintailah aku kepadanya agar aku bisa bertanggungjawab
dalam menjalankan amanahmu sebagai para mujahid. Bila rindu hadir di hati, aku
hanya mampu berharap aku dan syahid bertemu jua.
No comments:
Post a Comment
jika ada yang tidak berbuas hati, komen atau pandangan silakan tinggalkan jejak anda di sini