Oct 31, 2012

Mama... lepaskan Aisyah pergi,





Mata Aisyah, merenung kearahku penuh makna. Bibirnya yang pucat dan kering terukir senyuman.

“Aisyah sayang mama,” ujar Aisyah bernada lemah sebaik aku menghampirinya. Pada kelopak mata nya mengalir air jernih membasahi pipi.

“Mama… Aisyah dah tak lama. Kejap lagi Aisyah pergilah. Ni hari apa mama?” soal Aisyah dengan linangan air mata.

“Jumaat” balas ku.

Aku faham apa maksud ‘kejap lagi saya pergilah’ yang diucapkannya. Aku minta Aisyah kuatkan semangat. Aku masih berharap, Aisyah mampu bertahan walaupun doctor memberitahu segala organ utama badannya sudah rosak. Peluang hidup Aisyah tipis!

Sebenarnya sudah lima hari Aisyah dirawat di wad ini selepas ditemui dalam keadaan muntah muntah akibat minum racun. Organ organ dalaman terutamanya buah pinggang, hati dan jantungnya rosak teruk.

“Mama tolong mandikan Aisyah,” tiba tiba Aisyah bersuara kembali.

Aku turutkan permintaannya. Aku pimpin Aisyah ke bilik air.  Di bilik air, Aisyah beritahu dia hendak mandi dan bersihkan diri sebelum meningggal.

Aisyah beritahu dia mahu mengadap Allah dalam keadaan bersih. Aku yang mendengar hanya mampu menangis.

“Kalau meninggal hari jumaat, hari baik kan mama? Tak kene seksa!” kata Aisyah lagi.
Aku diam membisu. Lidah ku kelu tanpa jawapan. Walaupun Aisyah hanya anak angkat, tapi aku tak sanggup kehilangannya.

Selesai mandikannya, aku bawa Aisyah ke katil dan baringkan semula. Lebih dua jam kemudian aku mula nampak perubahan Aisyah.

Keadaannya semakin lemah. Air matanya sentiasa meleleh. Aisyah meminta ku memeluknya dengan  erat. Di waktu itu, Aisyah beritahu dia gembira bersamaku. Baru kini dia merasai kasih sayang seorang ibu.

Aisyah berbisik lagi: “mama, lepaskan Aisyah pergi. Aisyah hidup kat dunia ni pun sakit, terseksa!”

Saat itu seorang lelaki yang menjaga saudaranya di sebelah katil Aisyah menghampiriku. Dia bawa surah yaa siin.

“Saya tengok dia ni dah nazak. Awak lepaslah dia pergi.” Kata lelaki itu yang mendengar perbualan kami tadi.

Benar, aku lihat tanda tanda sakaratulmaut yang sudah jelas pada Aisyah. Mata hitamnya sudah tidak bersinar lagi. Tubuhnya semakin sejuk dan berpeluh.

Kakinya juga jatuh lurus. Sukar ditegakkan. Dada Aisyah mula berombak ombak, perlahan. Tanpa disuruh, lelaki itu membaca surah yaa siin di sisi Aisyah.

“Mama halalkan makan minum, salah silap Aisyah. Aisyah sayangkan mama sahaja. Tolong lepaskan Aisyah pergi.” Sekali lagi Aisyah merayu.

Waktu itu, suasana begitu hening. Jururawat, pesakit dan saudara mara pesakit lain yang menyaksikannya hanya mampu menangis.

“Awak orang yang  dia paling sayang. Jadi lepaskan dia pergi. Biar dia pergi dalam keadaan tenang.,” nasihat lelaki itu sekali lagi.

Walaupun tidak rela, aku terpaksa akur. Aku terpaksa lepaskan Aisyah.

“Asyhadu anal Ilaha..” aku ajar Aisyah mengucap.

Tapi belum sempat lafaz syahadah dihabiskan, Aisyah menyambung kalimah yang seterusya sambil tersenyum. Aisyah turut membaca surah al fatihah dan surah al ikhlas.

Selesai membaca surah tadi Aisyah meminta aku memeluknya. Tubuh Aisyah aku rangkul erat. Pipinya ku cium. Air mata kami mengalir bersama. Perasaan ku begitu sedih dan sebak.

“Mama, Aisyah pergi dulu. Maafkan Aisyah!” Bisik Aisyah. Air mataku turun bak hujan.

“Asyhadu anla Ilaha illallah wa asyhadu anna Muhammadan Rasulullah,” Aisyah melafazkan kalimat syahadah dengan tenang.

Dada Aisyah yang tadi berombak ombak kini senyap. Matanya perlahan lahan tertutup rapat. 
Kepalanya terlentok di bahuku seperti orang sedang tertidur.

Hari itu, jumaat, pukul 3.40 petang, sehari sebelum hari lahirnya. Aisyah meninggal dunia dalam keadaan tenang sekali.

Semua orang yang menyaksikan kematian Aisyah tadi agak terkejut. Lelaki yang membacakan yaa siin tadi memberitahu, biasanya di saat seseorang itu bertarung dengan sakaratulmaut, pasti tidak mampu bercakap atau tersenyum.

Tapi, keadaan ini berlainan sungguh dengan aisyah yang masih ingat Tuhan, mampu mengucap, boleh tersenyum dan bercakap.

Sebenarnya Aisyah mejadi anak angkatku tidak sampai setahun. Selepas Aisyah menjadi anak angkat, baru aku tahu, Aisyah telah berhenti sekolah.

Aisyah sebenarnya anak ketiga daripada tujuh beradik iaitu empat lelaki dan tiga perempuan. Ibunya lebih sayangkan lelaki berbanding anak perempuan. Anak perempuan dijadikan seperti hamba.

Setiap kali Aisyah pulang lewat kerana terlibat aktiviti di sekolah, ibunya mengatakan Aisyah pergi melacur. Akibatnya si ayah yang berang memukul Aisyah dan berhentikan persekolahannya.
Walhal Aisyah sebenarnya seorang perempuan yang baik dan hormat pada orang lain. Pernah aku dengar ibunya menyumpah Aisyah.

“Engkau tu anak kurang ajar. Nak sial. Aku tak akan halalkan makan minum engkau. Aku tak halalkan air susu aku. Engkau akan masuk lubang neraka. Engkau mati pun susah.” Tengking ibunya pada Aisyah.

Aisyah jadi semakin tertekan apabila ayahnya pula meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya. Ketika itu baru tiga bulan aisyah menjadi anak angkatku.

Sejak ayahnya tiada, setiap hari Aisyah dihina dan disumpah ibunya. Akibat tak tertanggung dan tertekan, akhirnya Aisyah bertindak minum racun serangga dan terlantar di wad ini.

Paling menyedihkan, ketika Aisyah di hospital lima hari, hanya sekali ibunya datang melawat.
Itu pun ibunya bukan datang memberi semangat pada Aisyah, sebaliknya menyumpah seranah Aisyah.

“Aku ingat dah mati. Tapi belum. Panjang betul umur engkau. Kalau engkau mati nanti engkau akan masuk lubang neraka. Aku memang tak halalkan susu aku.” Sumpah ibunya lagi ketika di hospital.

Bila aku sendiri saksikan kematian Aisyah, sesungguhnya sumpah laknat seorang ibu terhadap anaknya tidak akan dimakbulkan Allah jika bertujuan tidak baik.

Lihatlah, Aisyah mati dengan cara baik dan mengucap dua kalimah syahadah. Bagiku Allah lebih mengetahui siapa hambanya yang lebih baik disinya.


Memori sepanjang masa: ‘Mama… lepaskan  Aisyah pergi’
Rozana…






“Hanya lidah yang boleh berdusta dan berbohong. Tetapi pandangan mata, ayunan kedua belah tangan, langkah kedua dua belah kaki dan pergerakan tubuh akan menafikan apa yang diucapkan oleh lidah.”
Umar Al- Khattab r.a

*Bila mana mereka akan diletakkan dalam jasad, lalu mereka bertanya untuk kali yang terakhir kepada Tuhan siapakah nama malaikat itu. Lalu Allah berfirman, ibu ! Ibu yang melahirkan kamu. Lalu mereka dengan senang hati ikut perintah Tuhan.*

Andai melakukan ibadah kerana syurga, nescaya mereka akan membelakangi niat mereka yang sebenar. Sedangkan niat yang sebenar adalah kerana Allah. Rabiahtun adawiyah pernah berkata, aku tidak mengharapkan syurga atau takut kepada nereka, tetapi kerana mengharapkan keredaan dari Allah.

Allahumma salli ala Muhammad wa ala ali Muhammad
3x

1 comment:

jika ada yang tidak berbuas hati, komen atau pandangan silakan tinggalkan jejak anda di sini

Hello 2023