May 21, 2013

Cerpen bersiri: Resepi dari TUHAN bhg 1



Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan, dan kepada Kami-lah kamu semua kembali.
(Al-Anbiya’ 35)

Bab 1

Dari luar rumah mewah itu kelihatan seorang kanak-kanak yang memakai blause labuh berwarna putih yang mana terdapat corak bunga-bunga halus padanya. Wajah itu sungguh comel, kulitnya putih kemerahan dan gebu. Matanya bulat berwarna brown dan bulu matanya yang lentik. Rambutnya juga perang sedikit. Di situ juga kedengaran suaranya yang sayup-sayup sedang merintih.

“Tuan, buka pintu Tuan. Aisyah takut Tuan. Tuan...” sayup-sayup kedengaran suara Aisyah memanggil bersama tangisannya. Berkali-kali tangannya mengetuk daun pintu. Namun langsung tidak ada seorang pun yang sudi membuka untuknya.

Bum!!!

“Tuan...!” Aisyah menjerit. Badannya sudah menggigil. Dia takutkan kilat. Cahaya kilat sudah bersabung sesama sendiri. Pandangannya berkalih ke kiri dan kanan. Suasana gelap sememangnya menakutkannya.

“Tuan, buka pintunya Tuan. Aisyah takut Tuan. Jangan hukum Aisyah lagi Tuan. Aisyah minta maaf. Tuan, Aisyah takut Tuan.” Aisyah merayu lagi. dia terduduk di atas lantai di hadapan pintu. Dia sudah tersedu sedan. Air matanya sedari tadi laju membasahi pipi mulusnya.

Dari tingkat atas ada sepasang mata yang sedang memerhatikan tangisan anak kecil yang berusia 10 tahun berserta senyuman sinis. Cahaya kilat masih sambar menyambar di luar. Kaca mata yang terlorot dibetulkan sedikit. Lama matanya memerhatikan kanak-kanak itu.

“Mampus kau!” balas lelaki itu bersama hati yang puas.
Dia berlalu ke arah katil. Tangannya mencapai bingkai gambar. Dikucupnya gambar itu. Matanya sudah berkaca.

“Abang terlalu sayangkan sayang...” dia merebah diri di atas katil sambil memeluk erat gambar itu. Dia lena dalam pelukan itu.

Di luar, Aisyah masih lagi tersengguk-sengguk. Dia takut.

Bum... bum... bummm...! sekali lagi kilat berdentum yang hebat.

“ALLAH Aisyah takut...,” Aisyah menjerit sebelum dia jatuh terkulai layu. Air hujan sudah turun. Badannya sudah basah akibat terkena tempias hujan.

“Ai...syah...”

Aisyah berpaling. Dia terdengar suara yang sedang memanggilnya.

“Ibu...!” jeritnya sekuat hati. Dia berlari mendapatkan wanita yang sedang berdiri dibelakangnya. Air matanya terusan menitis keluar.

“Aisyah rindukan ibu. Aisyah rindukan ibu sangat-sangat...” Aisyah mengulang kata-katanya. Dia memeluk erat wanita yang memakai jubah hijau dan bertudung labuh putih itu.

Wanita itu turut membalas pelukan dari Aisyah. Dia juga rindukan Aisyah. “Kenapa anak ibu menangis ni. Sapa yang buat jahat pada anak ibu ni hah,” lembut wanita itu bersuara. Bibirnya terlukis senyuman yang manis. Tangannya mengusap lembut pipi Aisyah. Air mata 

Aisyah yang mengalir pantas diseka dengan tangannya.

“Ibu,” Aisyah kembali menangis. Tangannya memeluk kemas wanita dihadapannya itu.

“Ya ALLAH, kenapa dengan anak ibu ni.” Terus-terusan wanita itu bertanya. Wajahnya menunjukkan riak risau.

“Ibu, kenapa Tuan bencikan Aisyah? Apa salah Aisyah ibu? Malam ni dia halau Aisyah ibu, dia suruh Aisyah tidur diluar rumah. Ibu, ada kilat... Aisyah takut bu, Aisyah takut. Aisyah minta Tuan buka pintu bu, dia tak nak buka. Aisyah takut bu...” sendu sedan Aisyah bercerita.

“ALLAH... kenapa sampai macam tu Aisyah. Aisyah buat salah apa nak.” Suaranya masih dilembutkan walaupun dalam hati sudah terkoyak habis mendengar cerita anaknya itu.

“Ai... Aisyah tak buat apa-apa bu. Abang Kimi tuduh Aisyah koyak buku sekolah dia bu, Aisyah tak buat bu. Aisyah tak buat. Aisyah tak tahu, tiba-tiba Tuan tarik Aisyah keluar dari rumah bu.”

Menitik air mata Mariah mendengarnya. Tubuhnya kaku. Dia memandang wajah Aisyah yang lecun dengan air mata. Lama dia menatap. Pada wajah itu terdapat ketenangan.

 “Nak, kenapa panggil ayah Tuan. Dia ayah Aisyah, dia ayah kamu nak...”

Aisyah mengeleng laju. “Dia kata Aisyah tak layak bu. Aisyah bukan anak dia. Aisyah anak tiri. Betul ke bu Aisyah anak tiri? Betul ke bu? Aisyah tanya Mak Yam, Mak Yam hanya diam. Betul ke bu, Aisyah anak tiri?” bertalu-talu soalan Aisyah.

Mariah merangkul erat puteri bongsunya itu. Pipi Aisyah terus terusan diciumnya. Sampai hati abang... dia anak kita bang, anak kita. Dia lahir dari rahim saya, benih abang. Apa dosa dia bang, saya tahu saya tidak sempat membesarkannya bang... kenapa abang benci sangat dia bang? ALLAH... rintih hati Mariah sayu.

“Aisyah anak ibu, aisyah anak ibu... ingat tu. Aisyah darah daging ibu.” Mariah gagal menahan air matanya dari tumpah. Dia kecewa. Kecewa dengan sikap suaminya itu. Andai masa mampu diputar kembali.

Aisyah mengesat air matanya. Dia memandang wajah ibunya. Tangannya naik mengesat pelupuk mata ibunya. “Maafkan Aisyah, kerana Aisyah ibu menangis. Aisyah selalu menyusahkan ibu. Memang patutlah Tuan membenci Aisyah, rupanya Aisyah selalu menyusahkan dia.” Nada suaranya cuba diceriakan.

Ibunya memang cantik. Matanya sama macamnya dan mukanya juga terlalu iras ibunya. “Ibu, aisyah nak duduk dengan ibu di sini. Aisyah tak ada sesiapa lagi. aisyah nak ibu.” Sambungnya lagi.

Mariah memandang anaknya. Cukup terasa bila aisyah membahas ‘Tuan’ pada ayahnya. Bibirnya mengoyak senyum. Tangannya megusap lembut pipi mulus itu. “Aisyah tak boleh tinggal kat sini. Sini bukan tempat Aisyah. Tempat aisyah disana. Aisyah masih ada Mak Yam. Ingat tu.”

Aisyah diam. Bibirnya terketar-ketar. Seolah cuba berbicara sesuatu.

“Aisyah, ibu harus pergi. Aisyah, ingat pesan ibu ni ya, doa banyak-banyak pada ALLAH semoga ayah dapat terima Aisyah dalam hidupnya. Jangan pernah berhenti mengharap pada ALLAH. Aisyah ada ALLAH, ingat tu nak.”
Aisyah mengangguk. Mengiakan kata-kata ibunya.

“Hari esok masih ada nak...,”

“Ibu...,” Aisyah membuka matanya perlahan-lahan. Dia meraba susuk tubuhnya. Basah! Dia melilau sekeliling. Dia masih lagi terbaring di atas lantai marmar di luar rumah.

Perlahan-lahan bibirnya menguntum senyum. ‘Hari esok masih ada’, kata-kata tadi cukup mengembirakan hati anak kecil itu. Kenapa? Hanya insan kecil itu yang tahu.


Bab 2

Hari ni, Dato’ Roslan membuat jamuan makan bagi meraikan dirinya sempena dinaikkan pangkat kepada Dato’. Berpuluh tahun dia mengusahakan syarikatnya itu. Baru kini dia dianugerahkan pangkat itu.

Orang ramai sedang membanjiri kawasan rumah. Agak meriah sekali. Rumah yang tiga tingkat itu serasa penuh dengan orang ramai.

“Kenalkan, ni anak-anak saya. Ni Madiha, Aiman dan Kimi.” Dato’ Roslan memperkenalkan anak-anaknya kepada salah seorang kenalannya.

Mak Yam yang sedang membawa makanan ke khemah tersentak. Tangannya perlahan-lahan meletakkan gulai kari daging di atas meja. Matanya memadang wajah Dato’ Roslan yang tengah rancak berbual.

“Bukan Dato’ punya seorang lagi anak perempuan?” tanya kenalannya lagi. matanya melingkas kiri dan kanan mencari anak kecil itu.

“Owh, anak saya yang bongsu baru sahaja meninggal Dato’.” Balas Dato’ Roslan selamba. Langsung tiada perasaan bersalah.

Owh, hanya itu yang keluar dari mulut lelaki itu.

Mak Yam sekali lagi tersentak. Kepalanya digeleng beberapa kali. Sampai hati Dato’, rintih Mak Yam.

“Tak apa lah Dato’ anyway, congrates untuk pangkat tu.” Lelaki itu berlalu meninggalkan Dato’ Roslan. Dato’ Roslan hanya mengangguk dan melempar senyuman manis.

Lelaki itu berhenti seketika. Dia mengeleng kepalanya beberapa kali.

“Lan, Lan... dah tua pun masih tak berubah lagi, ingat aku ni bodoh ke apa. Benci sangat kau kat anak kau yer!” bebel lelaki itu sambil matanya terarah pada remaja perempuan yang sedang membasuh pinggan yang kotor.

Dengan hati yang sebal, dia berlalu keluar dari rumah mewah itu.

“Kau buat apa kat sini?” jerkah Dato’ Roslan. Suaranya tidak kuat. Bimbang tetamu memandangnya pelik. Matanya mencerlung memandang gadis yang berwajah polos bertudung litup yang sedang membawa pinggan kotor.

Aisyah tersentak. Bahunya terhinjut. Kepalanya digeleng beberapa kali. “Sa... saya ku... kutip pinggan kotor Tuan.” Tergagap-gagap Aisyah menuturkannya. Tangannya diangkat sedikit menunjukkan pinggan yang dibawa.

“Dah, pergi kau dari sini. Jangan rosakkan kemeriahan majlis aku pulak.” Suara Dato’ Roslan sudah mengendur sedikit. Tapi dalam hati dia menyumpah seranah wajah di hadapannya kini.

Aisyah mengangguk. Tanpa menunggu dia berlalu ke tempat membasuh pinggan. Dia dengar ke apa yang apa Dato’ Roslan katakan tadi?

“Ibu!” jerit Aisyah ceria. Dia berlari mendapatkan Mariah yang sedang duduk bersimpuh di bawah pokok di tepi sungai.

“Sayang ibu, Aisyah,” sapa Mariah lembut. Bibirnya senyum. selendang labuh berwarna hijau terlilit kemas di kepalanya.

“Aisyah sayang, bila hendak memulakan sesuatu pebualan hendaklah didahului dengan salam sayang. Jangan main jerit-jerit. Kita orang islam sayang, ingat tu apa yang ibu pesan.” Mariah menegur anaknya. Walaupun lembut tapi masih lagi terselit ketegasan.

Aisyah mengangguk. “Ibu nak tahu tak? Hari ni Tuan buat jamuan. Tuan naik pangkat bu, Mak Yam kata Tuan jadi Dato’.” Beritahu Aisyah ceria. Dia memeluk erat wanita dihadapannya.

“Iyer? Pangkat tak bawa kita ke mana pun sayang. Pangkat hanya pada nama, tapi pada Allah, kita hanya sama.” Mariah membalas pelukan Aisyah. Kepalanya diletakkan di atas kepala Aisyah.

“Tapi kan bu,” Aisyah diam. Dia tidak menyambung katanya.

“Tapi apa sayang...,”

“Tadi, masa Aisyah mengutip pinggan kotor, Aisyah nampak Tuan sedang bercakap dengan seseorang. Dia bagitau Kak Madiha, Abang Aiman dan Abang Kimi anak dia. Masa kawan 
Tuan tanya mana Aisyah, Tuan kata Aisyah dah lama mati. Benci betul Tuan kat Aisyah yer bu? Apa pun Aisyah tak kisah. Bagi Aisyah, Aisyah dah lama yatim piatu.” Sambung Aisyah ceria.

Mariah memandang anaknya pelik. Keningnya terngkat. Langsung tiada perasaan sedih pun. Sedang hatinya pula pedih bila mendengar Aisyah bercerita.

“Aisyah tak rasa sedih?” pancing Mariah.

Aisyah mengeleng. Bibirnya mengoyak senyum.

“Tak pun, buat apa nak sedih? Alah, apa yang Tuan kata tu, semua dah tak masuk dalam hati Aisyah. Dah jadi kudis pun bu. Aisyah bukan kecik lagi la bu, Aisyah dah 17 tahun tau.” Balas Aisyah.

“Ibu, kenapa ibu pergi?” tanya Aisyah kembali.

“Sebab ajal ibu dah sampai nak. Yang hidup pasti akan mati. Ingat tu sayang. Sayang, masa kita untuk bertemu akan berakhir.

“Kenapa bu?"

“Sebab anak ibu dah besar. Anak ibu dah matang. Aisyah..., jika satu hari nanti Allah akan memberi ujian-Nya lagi. Itu bukan satu bala nak, itu adalah resepi dan anugerah Allah kepada hamba-Nya.

Allah titipkan resepi itu, supaya manusia tidak akan lupa pada sang Pencipta. Ingat tu nak... masa kita sudah terbatas, ibu perlu pergi. Ini adalah yang kali terakhir kita bertemu dalam mimpi. Bila Aisyah rindukan ibu, doakan ibu yer? Abang Kimi, Abang Aiman dan Kak Madiha tak pernah doakan ibu. Ibu cukup terasa sekali sayang.”

Aisyah menangis. Kata-kata ibunya cukup merobekkan hatinya. Bila ibunya berkata tentang perasaan terhadap anak-anak yang lain, makin menyakitkan hatinya.
Ibu, hidup diorang terlalu dimanjai dan dimewahi oleh Tuan, kemewahan itu yang membuat hidup mereka jauh dari Tuhan bu..., Bisik hati Aisyah.

Bab 3

Air mata ini bagaikan tiada sebuah harga sedikit pun. Puas merintih dan merayu. Dirinya bagaikan anak kucing kurap yang tidak mendapat sebarang belas kasihan walau sedikit.
Wajahnya dipanggung kembali. Satu persatu wajah dihadapannya ditelek. Kesemua wajah itu langsung tiada raut wajah kemesraan melainkan kebencian yang menggelegak.

“Saya tak mahu Tuan,” perlahan suara Aisyah.

“Apa kau cakap?” naik oktaf suara Dato’ Roslan. Matanya mencerun tajam bersama perasaan benci yang semakin menggunung tinggi.

“Saya...”

Belum habis dia bersuara. Pantas dipintas oleh suara Dato’ Roslan.

“Hei bodoh, kau jangan nak jadi anak kurang ajar dengan aku tahu? Kau ni sepatutnya bersyukur sebab aku ni masih baik lagi nak pelihara kau. kalau tak, dah lama aku humban kau dalam longkang kat tempat pembuangan sampah tu.

Kau sepatutnya berterima kasih sebab selama ni aku bagi kau tempat tinggal. Kalau tidak disebabkan oleh wasiat bodoh yang Puan Mariah buat dah lama aku cincang lumat kau.
Kau setuju atau tak, kau kena ikut juga kata-kata aku. lagipun bagus juga, aku tak perlu lah nak mengadap muka kau kat sini lagi. lagi lama aku tengok muka kau, nak termuntah aku rasa.” Hambur Dato’ Roslan tanpa memikirkan perasaan Aisyah.

Aisyah memejamkan matanya rapat-rapat. Bicara itu melumatkan seluruh hati dan perasannya. Perkataan bodoh yang diungkapkan oleh orang yang bergelar seorang bapa kepada anaknya cukup menyakitkan. Saat ini tidak dapat tergambar perasaanya, sedih, kecewa bercampur menjadi satu.

Ya, Tuan tidak pernah ikhlas menerimanya. Kalau boleh Tuan mahu membunuhnya.
Hati Aisyah terus dan terus menangis. Air mata dibiarkan mengalir tanpa henti. Tudung sudah basah digenangi air mata. Dia masih lagi berteleku di atas lantai marmar itu.

Dia langsung tidak dibenarkan untuk duduk di atas sofa. Kata Tuan, dia hanya orang gaji atau taraf hamba abdi sahaja dalam rumah ini. Langsung tidak layak! Hina kan?

“Sayang, nak tahu cara nak membuat kebaikan kepada orang tua? Buatlah orang tua gembira. Dengarkanlah anakku,

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai ke umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun ‘ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katalah dengan kepada mereka perkataan yang mulia.
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakan meraka, “Wahai Tuahanku! Cucurilah rahmat ke atas mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya dan memeliharaku sejak kecil. (Al-Isra’: 23-24)”

 Kata-kata ibunya dulu kembali di dalam minda.

“Kalau itu yang Tuan rasakan betul dan mengembirakan hati Tuan, saya ikhlas kerana Allah.” Jawab Aisyah lemah. dia berserah pada takdir selepas ini. Andai ini yang dia harus terima.

“Bagus, minggu depan perkahwinan kau akan dilangsungkan.” Balas Dato’ Roslan ceria. Bibirnya menguntum senyuman. Hatinya puas. Puas melihat anak itu menderita. Itu harga yang harus dibayar sempena kematian isterinya yang tercinta.

“Papa nak buat meriah ke majlis dia?” Madiha yang sedari tadi diam mula bersuara. Matanya tepat memandang papanya. Meminta kepastian. Badannya dilenggok dengan manja sekali.

Dato’ Roslan memandang anak kesayangannya. Bibirnya tersungging senyuman. Kepalanya digeleng beberapa kali.

“Buat apa meriah? Nak malukan papa? Cukup-cukuplah dia menyeksa papa selama ni. Nanti bila sayang papa nak kahwin baru papa buat yang paling glam. Papa nak semua orang tahu.” Balas Dato’ Roslan lembut dan manja.

Dato’ Roslan mengusap pipi anaknya. Madiha memeluk erat papanya. Pipi papanya dicuim beberapa kali.

Aisyah menunduk wajahnya. Tidak sanggup melihat kemesraan itu. Kemesraan yang tidak pernah diukir untuknya. Dia menangis lagi untuk kali yang berapa. Tidak sanggup melihat wajah yang tidak pernah sekali mengusap dan membelai dirinya.

Hakimi dan Aiman hanya memandang wajah sayu Aisyah dengan hati yang puas. Seronok mendera perasaan gadis itu. Mereka berpandangan sebelum sama-sama mengoyak senyuman sinis kepada Aisyah.

Bab 4

“Hoi sini kejap.” Hakimi memanggil Aisyah. Dia bercekak pinggang. Matanya tajam. Aisyah berpaling. Dia meneguk liur. Perlahan-lahan langkah diatur menghampiri Abang Kimi.

“Ada apa bang?” soal Aisyah takut-takut. Dia menunduk.

“Ni.” Hakimi melempar sehelai kertas kepada Aisyah. “Aku nak kau tolong susun kertas kerja aku. Aku nak esok. Kalau kau tak buat, nahas kau. aku bagitau Tuan. Aku cakap, kau lari dari rumah. Baru kau akan tahu nasib kau!” sambungnya. Dia mengugut Aisyah. Suaranya juga dikeraskan.

Demi mendengar nama Tuan, hati Aisyah tiba-tiba menjadi kecut. Lebih lagi bila Hakimi mengugutnya untuk memberitahu Tuan yang dia lari rumah. Terbayang sirna garang Tuan pada wajahnya. Perlahan-lahan dia mengangguk.

Hakimi tersenyum sinis. Dia berlalu ke tingkat atas. Meninggalkan Aisyah yang masih terkulat-kulat di hadapan meja.

“Aisyah buat apa tu?” Mak Yam, merangkap orang gaji dalam rumah ini menyoal. Pelik melihat Aisyah menyusun buku. Setahunya, itu buku milik Hakimi.

Aisyah menoleh. Bibirnya senyum kepada wanita separuh abad itu. Tangannya masih lincah menyusun buku di atas meja. Dia tidak menjawab. Dia masih tekun dengan kerjanya.

Mak Yam masih menanti jawapan dari Aisyah. Dia duduk disamping Aisyah. Kanak-kanak yang comel dahulu kini sudah menjadi wanita yang paling cantik. Wajahnya persis patung barbie walaupun Aisyah bertudung litup.

“Argh...”

“Kenapa Aisyah?” Mak Yam menghampiri Aisyah yang memegang kedua belah kepalanya. Pelik. Tiba-tiba Aisyah mengaduh sakit. Dia memegang bahu Aisyah. Wajahnya gusar melihat wajah itu tiba-tiba pucat.

Aisyah mengeleng. Tanda dia tiada apa-apa walaupun hakikatnya kepalanya seperti dipukul dengan kuat. Terlalu sakit. Adakah ini kesan sampingannya?

“Owh kat sini kau! aku cari macam orang gila rupanya kau menyorok kat sini!” jerkah satu 
suara.

Aisyah dan Mak Yam mengalih pandangan mereka. tepat menghala ke arah pintu utama rumah. Aisyah gugup. Dia menelan liur berkali-kali. Terasa kesat air liur dikerongkongnya.

Mak Yam juga terpana. Tidak sangka lelaki itu akan mencari Aisyah sampai ke sini. Dia memandang pula wajah Aisyah. Wajah itu pucat lesi. Langsung tidak berdarah!

Lelaki itu menghampiri Aisyah yang masih lagi kaku. Sakit hati melihat wajah itu. Jika tidak difikirkan yang dia sekarang berada di rumah orang lain, sudah tentu wajah itu akan mendapat tamparan darinya. Baru dia puas hati.

“Kau ikut aku sekarang!” kasar suara itu. Tangan Aisyah dicapainya. Dia menarik dengan kasar supaya Aisyah mengikutnya. Sampai dihadapan rumah,

“Kau ni dasar tak guna!” tempik suara itu sekuat hati.

Pang!

Aisyah tersungkur. Dia meraba pipinya yang terasa perih. Berpijar matanya. Tiba-tiba suara itu menengkingnya. Dia terhinjut kebelakang. Dia takut melihat wajah garang itu.

“Kau tahu tak hah! Sebab kau aku kena bebel dengan mama, sebab kau aku kena halau oleh papa dari rumah tahu? Kau ni memang tak guna! Sengajakan kau nak cari pasal dengan aku!” lelaki itu masih belum habis bercakap. Matanya sudah mencerlung memandang Aisyah. Sakit betul hatinya.

Melihat gadis itu hanya diam makin membakar hatinya. Meruap-ruap kemarahanya.

Pang!

Sekali lagi tangannya naik menampar muka itu. Tubuhnya sudah menggeletar menahan marah. Marahnya sudah memuncak.

“Hei, BODOH! Bila aku tengah bercakap bukan suruh kau menunduk!” perkataan bodoh ditekannya dengan kuat. Untuk menyedarkan wanita itu siapa dirinya.

Aisyah memejam matanya saat perkataan bodoh diucapkan. Terlalu hina dirinya untuk lelaki itu. Dia beristiqfar. Perlahan-lahan dia mengangkat mukanya menentang wajah lelaki itu. Perih dipipi sudah tidak dihiraukan.

“Hei Wafiy, bila kau sampai?”  Belum sempat lelaki itu membuka mulut, Hakimi datang mencelah. Matanya tidak lepas memandang wajah Aisyah. Melihat kesan merah pada pipi Aisyah membuat hatinya terasa lapang dan puas. Dia terlalu suka melihat Aisyah didera.

“Bro, kenapa muka dia ni merah? Kau baru lepas tampar dia ke? Baguslah! Orang tak sedar diri macam dia memang patut kena buat macam ni selalu. Baru dia sedar diri.” Sambungnya lagi bersama ketawa. Lelaki itu turut ketawa. suaranya terlalu sinis.

“Tu lah, macam yang papa suruh buat aku buat lah. Papa kata aku kena dera dia selalu, baru dia sedar diri.” Lelaki itu menjawab bersama ketawanya.

 Aisyah yang sedari tunduk langsung tidak memberi sebarang reaksi. Rupanya disebalik wajah yang tenang itu, hati Aisyah sudah lama menangis. Bagaikan belati membelah jiwanya saat mendengarkan perkataan yang dituturkan suaminya.

“Hahaha... sebab dialah, mama aku mati! Sebab dialah, papa aku jadi murung! Dia memang sial! Aku benci dia lebih dari aku benci sejahat-jahat makhluk!” tempik Hakimi di telinga Aisyah. Wajahnya cukup tegang. Benci dan terlalu benci pada wajah itu!

ALLAH...! Aisyah terduduk dengan sendiri. Kepalanya makin berdenyut yang kuat. Dunia terasa sudah ligat berputar. Matanya dipejam dan dicelik beberapa kali. Matanya mula kabur. Suaminya dan Hakimi yang sedang ketawa mengejek kelihatan dua.

“Tulah, aku pun tak tahu nak buat macam mana lagi dengan perempuan macam ni. Rasa nak bagi penyepak je.” Sehabis ayat itu, Aisyah merasakan dunianya gelap gelita.

Inilah harga sebuah perkahwinan. Dia dipaksa kerana Dato’ Roslan ingin menjauhkan dia dari kebencian seorang bapa. Tidak lupa juga, Dato’ Roslan pernah berpesan kepada menantunya supaya mendera Aisyah sesuka hatinya.

Dia ingat Aiyah tidak tahu. Sedang Aisyah keluar dari tandas, jelas kedengaran suara Dato’ Roslan sedang bercakap dengan enantunya. Saat itu dan ketika itu, baru dia tahu. Itulah harga yang harus dia bayar.

Hari itu juga jiwanya merintih lagi.

Bahawa Dialah yang membuat orang tertawa dan menangis (An-Najm: 43)

Bab 5

Terpisat-pisat Aisyah membuka matanya. Kepalanya berdenyut semakin kuat. Perlahan-lahan dia cuba bangun. Namun masih tidak berdaya. Kepala terlalu sakit!

“Dah bangun pun kau bodoh.” Sapa satu suara dengan bongkaknya.
Aisyah mengalih pandangannya. Dia melihat Wafiy sedang berpeluk tubuh dengan kemejanya disisingkan sampai ke lengan. Nampak cukup karisma dan hensome. Tapi apalah guna kalau hati tidak seperti manusia. Bisik hati Aisyah.

Dia memandang sekeliling pula. Pelik. Ini bukan rumah atau bilik. Dia melihat beberapa ekor arnab sedang berlari-lari mengejar sesama mereka. tahulah dia, kini dia berada dalam sangkar arnab di belakang rumah lelaki itu.

“Mulai hari ni, ni lah rumah kau, bilik kau. kau akan duduk kat dalam ni sampailah mama dan papa aku balik dari bercuti. Kalau kira tarikh, lusa baru dia orang akan balik. So, selama dua hari la kau kena tinggal kat dalam ni.” Sinis suara Wafiy memecah gegendang telinga Aisyah.

Aisyah diam. Dalam hati dia beristiqfar beberapa kali. Pelupuk mata mula terasa basah. Tapi di tahan seboleh mungkin. Tidak mahu lelaki itu perasan. Kau mesti kuat! Bentak hati kecilnya. Lelaki itu juga, jika perasan sekali pun, bukan dia ambil kisah, bisik hati kecilnya lagi.

“Kenapa yer, setiap kali tengok muka kau, aku jadi berapi? Aku rasa nak hancur lumat je kau dari dunia ni. Tengok muka kau je, mesti aku jadi sakit hati. Marah aku jadi berapi-api.


Walaupun kau ni isteri aku, tapi aku tak pernah pun anggap kau ni sebagai isteri aku. Walaupun ada sekali aku sentuh kau. Tu aku jalankan sebagai tanggungjwab aku. Itu bukan sebab aku sayangkan kau, sebab sayang tu tak pernah wujud untuk orang seperti kau!

Tuan kau pun suruh aku jangan mengaku kau sebagai isteri. Tuan kata kau ni pembunuh betul ke? Aku rasa betul kot, sebab papa cukup benci dengan kau. apa pun, kau mesti semat dalam kepala otak kau bahawa dalam dunia ni, seorang pembunuh mesti menerima hukuman walaupun bukan bunuh balik. Kau dengarkan!” Kata lelaki itu lagi. Wafiy mencengkam kedua pipi Aisyah dengan kuat. Jelas ototnya terkeluar.

Zup!!!

Matanya terpejam rapat. Bicara tajam itu terus menusuk jantungnya. Perkataan lumat cukup menghentakkan jiwanya yang sedia kecewa. Lumat itu bermakna mati. Jadi, lelaki itu mahukan dia mati. Sama seperti papanya. Tangis lagi Aisyah dalam hati. Jelas getaran dalam dadanya menahan rasa. Hina sungguh dia di atas muka bumi Allah ini.

Aisyah mengaduh sakit. Terlalu sakit. Ditambah pula sakit dikepala masih tidak hilang. 
Dia langsung tidak bersuara. Kudratnya sudah hilang. Air mata berjuraian keluar membasahi pipi yang mulus. Aisyah memandang sayu wajah kacak suaminya. Meminta sedikit belas ehsan.

Pang!

Sekali lagi dia menjadi mangsa tamparan. Dia tersungkur di atas tanah. Pintu sangkar dikunci menggunakan mangga. Lelaki itu meninggalkannya tanpa ada rasa belas.

Tangan Aisyah sudah menggigil. Terketar-ketar tangannya untuk digerakkan. Terlalu sukar. Perlahan-lahan jari jemarinya menyentuh pipinya dan bibirnya yang pecah akibat tamparan yang kuat tadi.

Lebam akibat dipukul di rumah Dato’ Roslan masih belum lagi surut, kini dia kena lagi sekali dalam sangkar ini.

Arnab disisinya memandang tidak berkelip. Bagaikan mengerti kesakitan tubuh yang menumpang di dalam sangkarnya.

Dan jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tipu daya mereka tidak sedikitpun tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada kamu, sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka lakukan. ( Ali-Imran: 130)

Wafiy merebahkan dirinya di atas katil empuk. Dia mengeluh. Melihat wajah pucat dan sayu itu tadi begitu menyentakkan jiwanya.

Jiwanya berbelah bagi. Antara kasian dan benci. Bila melihat air mata itu, terasa jiwanya turut terasa sakitnya. Sebab itu dia menampar pipi mulus itu. Cuba membuang rasa belas dalam hati.

Adakah itu cinta? Dia mengeleng. Perempuan seperti itu langsung tidak layak untuk dicintai. Mungkin itu hanya perasaan puas hati. Melihat tubuh itu menderita cukup memberi kepadanya kemenangan yang puas. Dia tersenyum lebar. Puas menyeksa jiwa itu!

 Melihat perempuan itu diam seolah dirinya sedang diketawakan dalam hati. Rasa egonya dipijak lumat oleh perempuan itu.

Lama dia keadaan begitu, akhirnya dia terlena.

Azan maghrib sayup-sayup kedengaran dari masjid berdekatan

Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, bahkan, Kami lah yang memberi rezeki kepadamu. Dan ingatlah kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. (Ta-Ha: 132)

“Ya Allah, ampunkan hamba. Hamba tidak mampu menunaikan tanggungjawab hamba sebagai hamba-Mu. Ya Allah, jika ini kesudahan hidup hamba, hamba reda. Ibu, sakit bu... Aisyah sakit. Tolong Aisyah bu. Bawa Aisyah pergi.” Aisyah mengongoi sambil memeluk lutut.

Jelas menampakkan baju kurungnya dan tudung sudah dibanjiri kekotoran.



sila KLIK link dibawah untuk sambungan:
Resepi dari TUHAN bhg 2
Resepi Dari TUHAN bhg 3


Hello 2023