Apr 21, 2014

Terus mencari atau henti operasi?

  • Terus mencari atau henti operasi?Sebahagian daripada serpihan pesawat Air France yang ditemui.
 1 / 1 
KEHILANGAN pesawat MH370 masih kekal misteri sehingga kini susulan tiada satu petunjuk yang boleh dikaitkan dengan pesawat malang itu ditemui walaupun operasi mencari memasuki hari ke-45.

Namun, usaha mencari pesawat yang membawa 239 penumpang bersama 12 anak kapal termasuk juruterbang itu masih tetap dilaksanakan meskipun isyarat dari kotak hitam tidak lagi diterima pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di selatan Lautan Hindi.

Sehingga ke saat ini operasi SAR masih dijalankan dan fokus terarah kepada pencarian di dasar laut menggunakan kenderaan dalam air (AUV) Bluefin-21.

Walaupun usaha pencarian dikecilkan berdasarkan isyarat pinger yang terakhir dikesan namun, sehingga semalam data dari Bluefin-21 masih belum menunjukkan perkhabaran positif berkaitan MH370.

Ia menyebabkan misi ini dilihat semakin kritikal seperti yang dinyatakan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kelmarin, bahawa kini hanya berbaki 48 jam sebelum operasi Bluefin-21 dihentikan.


Keputusan penting perlu dibuat

Hishammuddin, dalam sidang media kelmarin menyatakan, tempoh 48 jam akan datang akan menjadi saat paling kritikal dalam misi mencari pesawat MH370 dengan kawasan pencarian dikecilkan.

Jika dihitung hari ini tinggal 24 jam sahaja untuk keputusan getir ini dibuat dan ia perlu dilakukan segera bagi mengelakkan strategi salah terus digunakan pasukan pencarian.

Pasukan mencari kini berdepan dilema iaitu sama ada mahu meneruskan operasi SAR dengan aset yang lebih canggih dari Bluefin-21 atau menghentikan operasi pencarian bagi mengkaji lokasi sebenar MH370.

Jika dilihat sejarah nahas penerbangan dunia sebelum ini, terdapat beberapa kes yang serupa dengan tragedi MH370.

Sebagai contoh yang berlaku di Indonesia pada 1 Januari 2007, iaitu pesawat Adam Air KI574 jenis Boeing 737-400 yang membawa 102 penumpang dari Bandung ke Manado secara tiba-tiba hilang dari radar tanpa membuat sebarang panggilan
kecemasan, dipercayai terhempas di Selat Majene, Sulawesi.

Sebulan selepas insiden itu, operasi mencari dan menyelamat dihentikan berikutan tiada sebarang petunjuk serpihan bangkai pesawat. Bagaimanapun, tujuh bulan selepas itu, dua kotak hitam pesawat itu berjaya ditemui.

Setelah sembilan bulan analisis dibuat Biro Keselamatan Pengangkutan Indonesia (KNKT) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional, Amerika Syarikat, ia merumuskan juruterbang mematikan alat pemanduan automatik bagi membaiki Sistem Rujukan Inersia (IRS).

Ketika sibuk membuat pembaikan tiada siapa yang menerbangkan pesawat sehingga menyebabkan ia mengiring ke kanan dan menjunam ke dalam laut.


Nahas Air France wajar dirujuk

Insiden ini turut sama berlaku kepada pesawat Air France AF477 yang terhempas di perairan Atlantik pada 1 Jun 2009 yang mengakibatkan 216 penumpang dan 12 anak kapal terkorban.

Pesawat itu terhempas apabila juruterbang hilang kawalan selepas kristal ais menjejaskan sensor yang digunakan untuk mengukur kelajuan pesawat.

Bagaimanapun, pada 6 Jun 2009, enam hari selepas kemalangan, cebisan rangka pesawat dan dua mayat ditemui di Lautan Atlantik, 680 km di timur laut kepulauan Fernando de Noronha di utara Brazil.

Pada 27 Jun 2009, operasi pencarian mayat dan serpihan pesawat ditamatkan dengan keseluruhan 51 mayat ditemui. Namun, hanya pada 1 Mei 2011, kotak hitam milik pesawat Air France ditemui.

Berdasarkan kedua-dua nahas melibatkan pesawat itu, mungkin kerajaan boleh mengkaji semula lokasi pencarian dengan menghentikan buat sementara waktu memandangkan tiada sebarang petunjuk ditemui.

Usaha mengkaji semula lokasi pencarian ini penting kerana jika usaha SAR yang dibuat tanpa ada sebarang petunjuk baharu boleh dikatakan sebagai usaha yang sia-sia.

Sekiranya pencarian masih buntu, mungkin tindakan menghentikan sementara usaha itu perlu dipertimbangkan bagi menilai semula kejadian bermula dari pesawat akhir dikesan satelit.

Sebelum ini, Hishammuddin memberitahu, beliau telah berbincang dengan Jean-Paul Troadec, individu yang bertanggungjawab mengendalikan kes kehilangan pesawat Penerbangan 447 Air France, berhubung penggunaan aset komersial swasta bagi membantu operasi mencari Penerbangan MH370.

Malah, sebelum ini, Perdana Menteri Australia, Tony Abbot juga telah menegaskan operasi itu akan dinilai semula sekiranya tidak terdapat perkembangan baharu.

Katanya, syarikat seperti Deftech, DRB, Boustead dan beberapa syarikat Malaysia bertemu dan berbincang dengan rakan mereka dari luar negara berhubung dengan bagaimana boleh menambah AUV bagi meneruskan usaha pencarian.

cc: Sinar harian

No comments:

Post a Comment

jika ada yang tidak berbuas hati, komen atau pandangan silakan tinggalkan jejak anda di sini

Hello 2023