Sep 30, 2013

Santapan Rohani- Antara sahabat dan Ikhwan



Pada suatu hari terjadi percakapan di antara Nabi saw dengan Abu Bakar Sidiq. Sahabat-sahabat lain pun ada yang mendengarkannya.

“Wahai Abu Bakar, begitu rinduku hendak bertemu saudara-saudaraku (ikhwan),” berkata Nabi saw.

“Wahai Rasulullah, bukankah kami ini teman-teman engkau?” Jawab Abu Bakar.
“Bukan!” jawab Nabi.

“Kamu ini adalah sahabat-sahabatku,” selanjutnya Nabi berkata, dan menegaskannya.
Keterangan Nabi itu sungguh menghairankan  Abu Bakar, juga sahabat-sahabat lain yang hadir. Apakah bezanya antara sahabat dan ikhwan, siapakah yang dimaksudkan Nabi itu dengan penuh kerinduan? Demikian persoalan  yang bermain dalam fikiran mereka dan suasana percakapan menjadi lebih serius kerana masing-masing ingin tahu mengenainya, malahan ini persoalan yang belum pernah mereka dengar dari Nabi saw.
Nabi segera memahami suasana yang ada bila keterangan baginda mengejutkan Abu Bakar dan sekalian sahabat yang ada di majlis itu. Maka segeralah baginda menghuraikannya.

“Ikhwan (saudara-saudara)ku.”

"Mereka belum pernah melihat aku, tetapi mereka beriman dengan aku sebagai Rasulullah dan mereka mencintaiku. Aku dicintai melebihi dari anak dan orang orang tua mereka.”

"Ya Rasulullah, bukankah kami ini ikhwan engkau?” bertanya sahabat baginda. Mereka masih merasa hairan dan ingin tahu penjelasan Nabi saw selanjutnya.

"Kamu semua adalah sahabat-sahabat aku,” jelas Nabi.

Wahai Abu Bakar, adakah engkau tidak akan merindui kepada ikhwanku itu kerana mereka juga mencintai engkau kerana engkau sahabatku?” demikian Nabi menjelaskan perkara itu.

Begitulah Nabi saw menerangkan bahawa mereka itu umat sesudah wafatnya baginda. Mereka itu beriman kepada Allah dan Rasulnya walaupun mereka tidak pernah bertemu dengan baginda. Mereka membaca AlQuran dan hadith dan kerana itu mencintai Nabinya sebagai Rasul Allah yang penghabisan. Mereka juga mencintai Abu Bakar Sidiq dan sahabat-sahabat Nabi yang berjuang menegakkan islam.

Dalam suatu waktu yang lain, baginda membicarakan kepada sahabat-sahabat tentang kemurnian iman ikhwan dan sekali lagi mereka kehairanan.

“Siapakah makhluk Allah   yang paling ajaib  imannya?” demikian Nabi saw. Bertanya kepada sahabat.

“Malaikat,” jawab mereka.

“Bagaimana Malaikat tidak beriman dengan Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah?” jawab baginda.

“Para Nabi,” jawapan mereka lagi.

“Bagaimana para Nabi tidak beriman sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka?” Nabi saw membantah jawapan mereka.

“Kami,” jawab sahabat lagi.

“Bagaimana kamu tidak beriman  sedangkan aku berada ditengah-tengah kamu?” jawab Nabi saw.

Betapa hairannya para sahabat mendengarkan jawapan jawapan Nabi saw itu dan mereka sudah cukup dapat memahaminya. Manakala Nabi sedia maklum betapa mereka amat ingin mengetahui siapakah makhluk ini yang paling ajaib imannya.
“Makhluk yang paling ajaib imannya ialah mereka yang hidup sesudah aku. Mereka membaca Quran dan beriman dengan semua isinya.”

Nabi saw pernah menegaskan lagi tentang kemurnian iman ikhwan ini dalam sabdanya: “berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman dengan aku. Dan berbahagialah tujuh kali orang-orang yang beriman dengan aku, tapi,  tidak pernah berjumpa dengan aku.”


Demikian Nabi saw mencintai ikhwan itu.

Hello 2023