Aku mengaduh sakit. Bengkak betul hati aku. Batang tubuh dihadapanku hanya
mengukir senyum sinis. Benci! Tangan aku hentak pada lantai. Sabar. Itu pesan
abah. Mataku menyorot hingga batang tubuh itu berlalu. Darah pekat aku kesat
dengan hujung jari.
Aku melangkah masuk. Dah lama aku duduk termenung dibawah
pohon sena. Hampir sejam. Malam sudah pekat. Tak baik untuk anak teruna seperti
aku berada di luar rumah waktu malam. Mengingat peristiwa tadi di sekolah hanya
membuat aku sakit hati.
Aku melabuh punggung diatas tilam nipis. Pondok usang
merangkap rumah abah kutatap. Terlalu usang. Atap nipah sudah mulai rapuh.
Dinding yang terbuat daripada mengkuang juga mula rapuh. Jika ribut datang,
silap hari bulan pondok ini akan roboh.
Sunyi. Mesti abah sudah dibuai lenanya sendiri.
Agak lama aku memerhati hingga tidak sedar bila aku
tertidur. Sedar-sedar pagi sudah menjengah. Bunyi kokokan ayam menyedarkan aku
dari mimpi indah. Bermain dalam sebuah rumah yang besar dan beralatan mewah.
Aku mengeluh. Sejak kebelakangan ini aku sering bermimpi
perkara yang sama.
====
“Jangan menganyam bahagia, andai kita yang terluka.” Pesan abah satu hari. Aku
hanya termangu. Tidak tahu maksudnya.
“Jangan abang berangan yang abang akan bahagia dengan
sesuatu yang belum pasti akan hasilnya. Kelak abang akan rasa sakitnya bila ia
tidak terjadi sama seperti yang abang impikan.” Terang abah. Dia bersandar pada
daun pintu rumah.
Aku mengangguk. Ya, abah tak nak aku jadi sepertinya. Ibu
pergi tinggalkan abah mengikut lelaki yang lebih kaya ketika aku berumur empat
tahun. Ya, kami juga kaya, kaya dengan kasih sayang walaupun kami miskin harta.
Abah bercakap. Tapi matanya memandang bukit bukau di
hadapan kami. Fikirannya juga melayang juga rasanya. Mungkin abah terkenangkan
ibu. Lama aku memerhati wajah abah. Wajah yang tenang walaupun orang kampung
selalu mencaci.
Bukan aku tidak tahu, setiap hari pasti ada yang mencemuh
abah. Kerana ibu kami terpalit sama. Aku benci ibu!
“Sekolah macamana? Okey?” Abah menyoal setelah lama
suasana sunyi.
Aku mengangguk. “Okey abah. Abang suka.” Balasku senada.
Bibirku senyum walaupun abah tidak melihat.
“Baguslah, tak ada orang buli abang kat sekolah?” tanya
abah lagi. Matanya masih kepada bukit bukau itu.
Laju aku mengeleng. Pekung tidak boleh dipecahkan. Nanti
abah berduka.
“Tak ada pun bah, semua baik dengan abang.” Ya, aku
menipu.
Senyap lagi. Abah sudah tidak bertanya.
====
Cuti
minggu seperti ini amat aku nantikan. Menolong abah mencari
rezeki dalam hutan dibelakang rumah. Abah mengupah mencari buah hutan untuk
dijual. Itulah hasil kami setiap hari.
Banyak yang kami dapat. Rotan juga lumayan banyaknya.
Pasti rezeki kami hari ini bertambah. Aku senyum. Mengekori abah ke tanah agak
lapang. Di tangan abah terdapat jerat burung.
Aku dan abah bersandar pada pokok cengal. Menunggu burung
uak-uak masuk dalam jerat yang dipasang oleh abah.
“Abah, kenapa orang kampung bencikan kita?” Soalku kepada
abah setelah lama diam.
Mulut abah tersenyum. Jelas menampakkan kehambarannya.
“Orang boleh nak benci kita. Hidup sebagai manusia memang macam ni. Kita kena
telan.”
“Bukan sebab ibu?” pangkahku. Suara sedikit meninggi.
Abah mengeleng. Jari telunjuknya naik dibibir. Memberi
amaran suapaya diam. Agar burung uak tidak terlepas dari jerat. Dia
memandangku. Mata abah redup. Tenang. Seperti sungai yang berada dihadapanku
kini.
“Bukan, siapalah kita untuk menghentikan perasaan benci
manusia. Kita miskin orang hina, kita kaya orang caci. Hidup ni tak lepas dari
mulut manusia. Semua nak perkata.” Tungkas abah lembut. Tangannya menguis tanah
di bawah.
“Abang bencikan ibu?” Abah memandang tepat memandang
wajahku.
Aku membalas memandang wajah abah. Aku diam. Langsung
tidak bersuara. Tidak tahu apa yang harus aku katakan. Bahuku terangkat.
“Berdosa bencikan ibu. Walau bagaimanapun kita, sebagai
anak kita wajib taat kepada ibu. Walaupun ibu kita itu jahat sekalipun. Selagi
dia tidak menyuruh melakukan kejahatan, abang wajib taatkan ibu dan selalu mendoakan
kesejahteraan ibu.”
Aku terdiam. Tenangnya abah bila bersuara. Ingin sekali
aku menangis. Abah hanya bersikap selamba bila orang kampung mengutuknya.
Seperti orang yang tidak punya perasaan. Tapi tidak aku. Aku akan lepaskan
kemarahanku pada batang pisang. Aku akan tumbuk batang pisang hingga aku puas.
Lunyai batang pisang aku kerjakan. Hingga abah mengeleng
setiap kali melihat aku melepaskan kemarahanku yang terbuku. Abah akan tahu aku
ada masalah bila dia melihat batang pisang lebam aku kerjakan.
Kenapa aku tidak mewarisi sikap abah. Sikap aku sama
seperti ibu. Panas baran dan mudah menengking. Mungkin selalu kena maki hidup
miskin dengan abah ibu pergi meninggalkan abah. Aku mengeluh buat sekian
kalinya.
====
“Abah bakar apa tu?” Aku yang baru siap mandi menjengah kepala keluar dari
tingkap. Kelihatan asap berkepul-kepul. Rambut yang basah aku lap menggunakan
tuala. Kami baru pulang dari hutan.
Abah berpaling. Bibirnya masih dengan senyuman. “Bakar
burung uak-uak. abang kan suka uak bakar. Nanti kita makan. abang tolong hidang
nasi yer?”
Aku hadiahkan kepada abah sebuah senyuman yang paling
manis. Aku berlalu kedapur.
“Kerja sekolah dah siap ke bang?” tanya abah sewaktu kami
siap makan tengahari.
Aku mengangguk. Tanganku masih lincah menyusun pinggan
untuk dibasuh.
“Dah bah... semua ditanggung beres,” selorohku.
Abah ketawa. “Belajar elok-elok. Kata nak buat istana
untuk abah. Abah tuntut tau janji abang kat abah.” Abah bergurau.
Aku memandang wajah abah. Abah bergurau akan kata-katanya
tapi tidak aku. Aku janji akan mengubah haluan hidup kami. Itu tekadku.
=====
“Nak tahu apa yang paling penting dalam hidup?”
“Apa bah?”
“Ilmu. Nak tahu kenapa?”
Pantas aku mengangguk.
“Orang berilmu akan dipandang mulia. Jangan jadi seperti
abah. Kehidupan miskin membataskan abah untuk belajar. Hidup melarat tanpa
ilmu. Sebab tu abah berusaha untuk anak abah.. Belajar elok-elok dan hargai
ilmu yang diberi. Hormat cikgu. Kerana dia yang memberi kita ilmu itu.
Satu hari nanti, kembangkan ilmu yang abang perolehi.
Sebarkan ilmu itu. Baru adil. Semua dapat ilmu yang kita dapat. Berjaya abang
nanti, terlalu gembira buat abah.” Panjang berjeda abah bercakap. Aku mendengar
penuh semangat.
====
“Abah...” aku memanggil abah. Ketika itu abah baru selesai berdoa. Lama aku
memerhati kelakuan abah. Panjang berjeda abah berdoa. Entah apa doa abah. Cuaca
hari ini panas terik. Awan tiada. Hanya langit yang biru.
Abah berdiri. Dia menghampiriku. Tangan abah aku salam.
Tangan kiri abah menggosok kepalaku. Hensem abah pakai macam ni. Nampak muda.
Memang abah masih muda.
“Abah doa apa tadi?”
Dia senyum.
“Doa untuk anak abah. Gembira abah tengok abang sekarang.
Dah berjaya. Macam mana dengan projek abang kat sini.”
“Alhamdulillah, okey je bah. Kejap lagi abang nak kena
turun pulak. Tengok site. Abah bila
nak melawat Madinah? Kata nak pergi Masjid Nabi.” Projek pembinaan Safar dan
Marwah bagi memudahkan para jemaah haji dan hotel.
“Petang nanti kot. Best kat Al Haram ni. Macam-macam abah
tengok. Tak sangka abah dapat datang ke sini buat kali kedua yer.”
“Untuk abah, semua beres.” Kami gelak. Kami melangkah
meninggalkan Masjid Al Haram. Sekarang bukan musim haji. Tak ramai yang ada di
Makkah melainkan penduduk tempatan.
“Abah tak nak beli ke barang-barang kat sini?” Tanganku
lincah memilih sejadah yang ada dijual di sini.
“Lah, nak bagi kat siapa? Bukan kita ada sesiapa pun
kan.” Tangan abah juga lincah memilih.
“Untuk orang kampung.” Aku memandang abah.
“Ish, kamu ni, bukan rumah kita tu dah roboh kena hentam
kat ribut?” tangan abah terhenti dari memilih. Dia memadang ke arahku. Kepala
aku dekatkan dengan kepala abah.
“Nak bagitau abah, abang dah buat istana untuk abah.
Janji abang untuk abah. Dah siap tau. Dua tingkat je abang buat. Takut abah tak
larat nak panjat tinggi-tinggi.” Aku berbisik ditelinga abah.
Abah senyum. “Kamu tinggal kat KL. Buat apa buat rumah
besar-besar? Kamu tu bukan nak ada bini lagi.”
Aku tergelak. Bab isteri juga abah persoalkan.
“Nak tahu satu benda tak?” soal abah.
Abah dekatkan bibirnya di telingaku.
“Kalau kamu dah kahwin, tentu menantu dan cucu abah ada
kat sebelah sekarang tengah pilih barang. Rasa tak rugi ke lambat kahwin?”
Aku tergelak lagi. “amin... abah doakan lah untuk abang,
mana tahu dapat menantu orang arab.”
Kami ketawa meninggalkan pasar. Alhamdulillah, hari ni ak
telah berjaya. Berat nasihat dan doa dari seorang abah. Aku sayang abah. Dia
ibu dia juga ayah. Aku sayang dia melebihi segalanya dan aku tidak lupa, Allah
tangga teratas. Rasul tangga kedua dan abah tangga ketiga.
Ibu, aku juga sayang ibu. Abah kata ibu telah pulang
kerahmatullah. Alfatihah. Moga ibu ditempatkan di syurga yang sejati dan
dirahmati disisi ALLAH.
Orang kata, kasih ibu membawa ke syurga kasih ayah sampai
bila-bila. Selamanya abah disisiku. Mengajar erti kehidupan melalui nasihat
yang penuh berkat.
No comments:
Post a Comment
jika ada yang tidak berbuas hati, komen atau pandangan silakan tinggalkan jejak anda di sini