May 4, 2013

Prolog- Resepi dari Tuhan



Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan, dan kepada Kami-lah kamu semua kembali.
(Al-Anbiya’ 35)

PROLOG..

Dari luar rumah mewah itu kelihatan seorang kanak-kanak yang memakai blause labuh berwarna putih yang mana terdapat corak bunga-bunga halus padanya. Wajah itu sungguh comel, kulitnya putih kemerahan dan gebu. Matanya bulat berwarna brown dan bulu matanya yang lentik. Rambutnya juga perang sedikit. Di situ juga kedengaran suaranya yang sayup-sayup sedang merintih.

“Tuan, buka pintu Tuan. Aisyah takut Tuan. Tuan...” sayup-sayup kedengaran suara Aisyah memanggil bersama tangisannya. Berkali-kali tangannya mengetuk daun pintu. Namun langsung tidak ada seorang pun yang sudi membuka untuknya.

Bum!!!

“Tuan...!” Aisyah menjerit. Badannya sudah menggigil. Dia takutkan kilat. Cahaya kilat sudah bersabung sesama sendiri. Pandangannya berkalih ke kiri dan kanan. Suasana gelap sememangnya menakutkannya.

“Tuan, buka pintunya Tuan. Aisyah takut Tuan. Jangan hukum Aisyah lagi Tuan. Aisyah minta maaf. Tuan, Aisyah takut Tuan.” Aisyah merayu lagi. dia terduduk di atas lantai di hadapan pintu. Dia sudah tersedu sedan. Air matanya sedari tadi laju membasahi pipi mulusnya.

Dari tingkat atas ada sepasang mata yang sedang memerhatikan tangisan anak kecil yang berusia 10 tahun berserta senyuman sinis. Cahaya kilat masih sambar menyambar di luar. Kaca mata yang terlorot dibetulkan sedikit. Lama matanya memerhatikan kanak-kanak itu.

“Mampus kau!” balas lelaki itu bersama hati yang puas.
Dia berlalu ke arah katil. Tangannya mencapai bingkai gambar. Dikucupnya gambar itu. Matanya sudah berkaca.

“Abang terlalu sayangkan sayang...” dia merebah diri di atas katil sambil memeluk erat gambar itu. Dia lena dalam pelukan itu.

Di luar, Aisyah masih lagi tersengguk-sengguk. Dia takut.

Bum... bum... bummm...! sekali lagi kilat berdentum yang hebat.

“ALLAH Aisyah takut...,” Aisyah menjerit sebelum dia jatuh terkulai layu. Air hujan sudah turun. Badannya sudah basah akibat terkena tempias hujan.

“Ai...syah...”
Aisyah berpaling. Dia terdengar suara yang sedang memanggilnya.

“Ibu...!” jeritnya sekuat hati. Dia berlari mendapatkan wanita yang sedang berdiri dibelakangnya. Air matanya terusan menitis keluar.

“Aisyah rindukan ibu. Aisyah rindukan ibu sangat-sangat...” Aisyah mengulang kata-katanya. Dia memeluk erat wanita yang memakai jubah hijau dan bertudung labuh putih itu.

Wanita itu turut membalas pelukan dari Aisyah. Dia juga rindukan Aisyah. “Kenapa anak ibu menangis ni. Sapa yang buat jahat pada anak ibu ni hah,” lembut wanita itu bersuara. Bibirnya terlukis senyuman yang manis. Tangannya mengusap lembut pipi Aisyah. Air mata Aisyah yang mengalir pantas diseka dengan tangannya.

“Ibu,” Aisyah kembali menangis. Tangannya memeluk kemas wanita dihadapannya itu.

“Ya ALLAH, kenapa dengan anak ibu ni.” Terus-terusan wanita itu bertanya. Wajahnya menunjukkan riak risau.

“Ibu, kenapa Tuan bencikan Aisyah? Apa salah Aisyah ibu? Malam ni dia halau Aisyah ibu, dia suruh Aisyah tidur diluar rumah. Ibu, ada kilat... Aisyah takut bu, Aisyah takut. Aisyah minta Tuan buka pintu bu, dia tak nak buka. Aisyah takut bu...” sendu sedan Aisyah bercerita.

“ALLAH... kenapa sampai macam tu Aisyah. Aisyah buat salah apa nak.” Suaranya masih dilembutkan walaupun dalam hati sudah terkoyak habis mendengar cerita anaknya itu.

“Ai... Aisyah tak buat apa-apa bu. Abang Kimi tuduh Aisyah koyak buku sekolah dia bu, Aisyah tak buat bu. Aisyah tak buat. Aisyah tak tahu, tiba-tiba Tuan tarik Aisyah keluar dari rumah bu.”

Menitik air mata Mariah mendengarnya. Tubuhnya kaku. Dia memandang wajah Aisyah yang lecun dengan air mata. Lama dia menatap. Pada wajah itu terdapat ketenangan.

 “Nak, kenapa panggil ayah Tuan. Dia ayah Aisyah, dia ayah kamu nak...”

Aisyah mengeleng laju. “Dia kata Aisyah tak layak bu. Aisyah bukan anak dia. Aisyah anak tiri. Betul ke bu Aisyah anak tiri? Betul ke bu? Aisyah tanya Mak Yam, Mak Yam hanya diam. Betul ke bu, Aisyah anak tiri?” bertalu-talu soalan Aisyah.

Mariah merangkul erat puteri bongsunya itu. Pipi Aisyah terus terusan diciumnya. Sampai hati abang... dia anak kita bang, anak kita. Dia lahir dari rahim saya, benih abang. Apa dosa dia bang, saya tahu saya tidak sempat membesarkannya bang... kenapa abang benci sangat dia bang? ALLAH... rintih hati Mariah sayu.

“Aisyah anak ibu, aisyah anak ibu... ingat tu. Aisyah darah daging ibu.” Mariah gagal menahan air matanya dari tumpah. Dia kecewa. Kecewa dengan sikap suaminya itu. Andai masa mampu diputar kembali.

Aisyah mengesat air matanya. Dia memandang wajah ibunya. Tangannya naik mengesat pelupuk mata ibunya. “Maafkan Aisyah, kerana Aisyah ibu menangis. Aisyah selalu menyusahkan ibu. Memang patutlah Tuan membenci Aisyah, rupanya Aisyah selalu menyusahkan dia.” Nada suaranya cuba diceriakan.

Ibunya memang cantik. Matanya sama macamnya dan mukanya juga terlalu iras ibunya. “Ibu, aisyah nak duduk dengan ibu di sini. Aisyah tak ada sesiapa lagi. aisyah nak ibu.” Sambungnya lagi.

Mariah memandang anaknya. Cukup terasa bila aisyah membahas ‘Tuan’ pada ayahnya. Bibirnya mengoyak senyum. Tangannya megusap lembut pipi mulus itu. “Aisyah tak boleh tinggal kat sini. Sini bukan tempat Aisyah. Tempat aisyah disana. Aisyah masih ada Mak Yam. Ingat tu.”

Aisyah diam. Bibirnya terketar-ketar. Seolah cuba berbicara sesuatu.

“Aisyah, ibu harus pergi. Aisyah, ingat pesan ibu ni ya, doa banyak-banyak pada ALLAH semoga ayah dapat terima Aisyah dalam hidupnya. Jangan pernah berhenti mengharap pada ALLAH. Aisyah ada ALLAH, ingat tu nak.”

Aisyah mengangguk. Mengiakan kata-kata ibunya.

“Hari esok masih ada nak...,”

“Ibu...,” Aisyah membuka matanya perlahan-lahan. Dia meraba susuk tubuhnya. Basah! Dia melilau sekeliling. Dia masih lagi terbaring di atas lantai marmar di luar rumah.

Perlahan-lahan bibirnya menguntum senyum. ‘Hari esok masih ada’, kata-kata tadi cukup mengembirakan hati anak kecil itu. Kenapa? Hanya insan kecil itu yang tahu.

2 comments:

jika ada yang tidak berbuas hati, komen atau pandangan silakan tinggalkan jejak anda di sini

Hello 2023