May 13, 2013

CERPEN : Miek sahabatku


Suasana kampong amat mendamaikan. Nafas ku, aku tarik panjang sekali. Sesekali mataku aku pejam rapat menikmati suasana lapangan padi. Dah lama aku tidak merasakan nikmat sebegini. Hidup di bandar yang dipenuhi dengan bangunan dan kereta yang sentiasa membingitkan. Lain pula di kampong. Untuk bernyawa terasa dari udara yang nyaman bersih sekali.

Lama aku berdiri di hadapan sawah padi yang terbentang indah itu. Keasyikan yang sangat mempesonakan ciptaan TUHAN. Indahnya jika aku membuat rumah di tengah sawah. Pasti rumahku akan jadi rumah yang paling indah sekali. Hari-hari dapat menghirup udara yang segar. Melihat pula Anak-anak yang sedang bermain layang-layang di sawah. Ah, indahnya. 

Tiba-tiba terasa angin kuat menyapa diriku. Angin seperti puting beliung hingga tubuhku bergegar.

Prang!!!

Aku membuka mataku. Mataku aku jengilkan kepada satu susuk manusia yang suka menggugat ketenteraman jiwaku di kampong yang sedang berdiri di sebelahku. Dia tersengih menunjuk barisan giginya yang putih.  Cis, ni bukan iklan ubat gigi Darlie.

“Bro, bila kau balik weh…” puk! Dia menumbuk bahuku. Aku tergolek jatuh atas sawah padi. Aku mengaduh sakit. Mataku tajam memandangnya. Dia hanya menunjuk muka toya. Langsung tidak mahu membantu aku untuk berdiri.

“Weh, angkat la aku. Sakit ni.” Aku mengadu sakit. Sikuku yang terkena tanah liat keras, cukup terasa perasa perihnya.

“Kau ni lembik la. Jantan menda macam ni? Aku lepuk sikit je dah terjatuh. Bikin malu weh,” tangannya dihulur untuk membantuku berdiri. Mulutnya tidak habis-habis membebel.

“Kau tu jantan jadian. Memang la tergolek aku jatuh.” Balasku selamba. Aku dengan dia tidak boleh kalah. Selalu dia menyakitkan hati aku.

Puk!

Sekali lagi aku tergolek dan terguling jatuh atas sawah padi. Aku meraung. Pedih gila jatuh atas tanah sawah yang keras.

“Woi, cakap sebarang cakap. Karang bukan aku tolak je, aku lempang sekali nak tak?” marahnya. Matanya sudah terjengil. Tahu jugak marah minah tomboy. Aku mencebik.

“Angkat la aku Miek. sakit ni. Aku mintak maaf okey? Kau dengan aku pun nak marah.” Aku merayu kepadanya. Muka aku buat muka seposen. Mintak kasihan belas dari minah tomboy.

Dia merenggus. Bibirnya dicebikkan. Sama seperti mulut itik yang sedang berenang ditepi kali sebelah kami. Bising mulut itik itu berbicara dalam bahasa mereka. Marah-marah pun, dia tetap angkat aku dari sawah.

“Arghhh…” dia mengeluh. “Kau ni, dah tau kau tu jantan, tampungla jugak aku angkat kau. Berat nih.” Sambungnya lagi. Peluh didahinya sudah memercik. Aku menahan tawa. Lucu melihat mukanya yang berkerut seribu. Aku sengaja melembutkan badanku. Sekali sekala nak kenakan dia, apa salahnya.

Terliuk lentok badannya mengangkatku.

“Sakitla tangan dan pinggang aku nak naik pelamin esok.” Kedengaran suaranya masih lagi membebel. Dia menggeliat beberapa kali sambil memukul lembut lengannya. Aku memandangnya sambil mengeleng. Baju yang kotor terkena tanah aku sapu menggunakan tangan.

“Kau ni Miek, bakal pengantin pun boleh lagi keluar rumah. Mak kau tak marah ker? Jangan Mak Kiah cari kat sini sudah la. Kau tak tolong Mak kau buat persiapan?”
soalku kepada Miek yang duduk bertinggung di hadapan tali air. Tangannya sibuk melempar batu ke arah itik-itik yang sedang berenang. Terkial-kial itik itu melarikan diri  untuk menyelamatkan nyawa apabila Miek melempar batu yang besar kedalam tali air.

Miek memandang kepadaku. Bibirnya dijuihkan.

“Malaslah aku, mak aku yang larang aku nak buat kerja. Kata dia, menjahanamkan barang hantaran adalah dengan tangan keras aku. mentang-mentanglah dia tu pengubah barang hantaran kat kampong ni.”

“Ha...ha...ha... dah tahu tangan keras tak nak lembutkan?” soalku kepadanya sambil ketawa.
Dia mengangkat tangannya. Lagak seperti mahu mencekik diriku. Aku berdiri, mengelak dari terkena serangan milik si tomboy. Kami berlari berkejaran. Akhirnya kami kelelahan.

“Dah la, penat aku.” Dia bersuara. Kami sama-sama duduk di atas wakaf yang dibina ditengah sawah. Angin petang berpupuk lembut. Sejuk rasanya. Dari jauh kelihatan sebuah motosikal menghampiri kami.

Pak cik yang membawa motosikal tadi turun dari motornya. Tidak jauh dari kami. Hanya beberapa meter sahaja.

“Ya ALLAH..., makhluk mana la yang menjahanamkan anak padi aku ni.” Tiba-tiba pak cik itu bersuara lantang. Aku dan Miek memanggung kepala melihatnya. Kelihatan pak cik itu sedang mengusap kepalanya dengan kasar.

Aku dan Miek saling berpandangan. Akhirnya kami turut ketawa.

******

“Ifszal, bila giliran Mak Kiah pulak nak rasa nasi minyak dari kamu ni?”
Aku yang sedang berehat di bawah khemah tersentak. Kepala aku dongak memandang Mak Kiah a.k.a ibu Miek yang sedang berdiri dihadapanku. Bibirku hanya menggariskan senyuman kepada wanita itu.

“Entahlah mak cik. Tak ada calon lagi.” balasku senada. “Akhirnya Miek naik pelamin jugakan mak cik? Saya ingat dia nak membujang sampai ke tua.” Sambungku lagi.

“Tu lah, dah puas mak cik paksa.”

“Mak cik cakap apa pada dia?” soalku pula.

“Mak cik cakap, raya tahun depan kalau tak ada calon menantu lagi mak tak nak kau balik rumah. Jumpa bakal menantu mak dulu baru mak kasi balik.” Aku tergelak. Kejam juga ayat Mak Kiah ni. Mesti muncung sedepa mulut si Miek ni.

“Terkejut juga mak cik. Sebulan lepas mak cik cakap macam tu dia bawa balik budak lelaki. Mak cik tanya dia siapa ni? Dia kata dah mak nak menantu, orang bawa balik la. Tak sangka mak cik, keras-keras dia pun ada juga orang yang minat.”

Aku hanya senyum dan mengangguk. Mataku melilau melihat orang kampung yang sedang bergotong royong memasang khemah memandangkan esok hari bersejarah Miek.

“Kiah, Kiah...” dari jauh kelihatan Pak Idris sedang melaung memanggil nama Mak Kiah. Tergopoh gapah Mak Kiah meninggalkan  aku di sini.

*****
Dari jauh, paluan kompang berbunyi kuat. Aku sekarang sedang bersandar pada pokok ara. Penat. Peluh yang memercik di dahi ku seka menggunakan tapak tangan. angkat barang 
punyalah banyak. Sabar, demi hari bahagia Miek, aku gagahkan juga.

“Milah.... ooo... Milah...!” aku memandang. Mak Kiah sedang memanggil anaknya dari pintu. Suara Mak Kiah seperti petir. Semua orang sedang memandangnya. Aku mengeleng. Mak Kiah, Mak Kiah...

“Ifszal...! sini! Tolong Mak Kiah.” Jerit Mak Kiah lantang. Dia menggamit aku supaya menghampirinya. Aku mendapatkan Mak Kiah. Berdiri di sebelah Miek. Cantik Miek hari ni. Baru kelihatan seperti perempuan.

“Fuh..., awek beb...” Zainal, rakan kami bersuara. Miek menunjukkan penumbuknya ke arah Zainal. Akhirnya kami sama-sama ketawa. Miek muncung sedepa.

“Yang kamu muncung macam kena jerat tikus tu kenapa Milah? Dah tak nampak suami kau tu tengah tunggu. Apa lagi? pergilah cepat...!” sapa Mak Kiah dari hadapan. Miek mencebik. Mak Kiah menarik telinganya.

“Mak ni sakitlah...” bebel Miek. Kami ketawa mengekek melihat Miek yang sudah merah pipinya.

Miek berjalan. Kakinya dihentak kuat diatas tanah. Sekali pandang dah macam gajah 
sedang berjalan dan kami sebagai penonton.

“Hah, melawan! Melawan!” bebel Mak Kiah. Dari belakang.  Pecah perut aku rasanya. Pengantin buat perangai.

++++++

Kereta  aku parking dihadapan rumah Miek. Hari ni aku akan bertolak ke Kuala Lumpur memandangkan cuti dah nak habis.

Kelihatan keluarga Miek sedang bersantai di bawah pokok jambu rendang. Muat jugak teratak yang Pak Idris buat.

“Kamu nak kemana ni Ifszal?” mak kiah menegurku dari teratak. Aku menghampiri. Miek sedang berbual bersama suaminya.

“Saja datang, Ifs dah nak balik KL ni Mak Kiah.” Beritahuku.

“La, cepatnya?” Pak Idris pula yang menyoal.

“Esok saya dah kerja la pak cik. Tak boleh nak cuti lama-lama.” Jawabku lembut. Tangan Pak Idris aku cium.

“Miek, aku dah nak balik ni.” Laungku. Merpati dua sejoli sedang bercanda di atas batas sawah padi.

“Kejap.” Balas Miek kuat. Dia berjalan beriringan bersama suaminya.

“Miek, Miek... aku dah bagi nama cantik-cantik, Miek jugak yang dia suka.” Bebel Mak Kiah. Tangannya lincah memotong buah jambu.

“Mak ni, Miek la baru glam...” balas Miek tak mahu kalah. Aku tayang sengih.

“Macamana malam semalam?” tanyaku kepada Afzam, suami Miek.

“Ganas kot.” Balas Afzam selamba. Miek menjeling tajam ke arah suaminya. Aku bantai 
gelak.

“Sakitlah yang.” Afzam mengaduh sakit akibat cubitan dari Miek. Aku mengeleng. Akhirnya Miek bahagia juga bersama suaminya.

No comments:

Post a Comment

jika ada yang tidak berbuas hati, komen atau pandangan silakan tinggalkan jejak anda di sini

Hello 2023